Sambutan Hari Malaysia di Sabah dibatalkan, kerajaan negeri fokus urus bencana

KOTA KINABALU, – Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan pembatalan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka malam esok berikutan bencana besar akibat hujan berterusan yang menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keutamaan kerajaan negeri kini adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dapat dijalankan segera demi membantu komuniti yang terjejas.

“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, hari ini.

Hajiji turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri agar sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan bersedia mengambil tindakan segera memandangkan cuaca buruk dijangka berpanjangan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong yang mempengerusikan jawatankuasa itu telah diarahkan untuk memantau perkembangan di lapangan serta menyelaras tindakan di daerah-daerah yang terlibat.

Dalam pada itu, Hajiji menyeru orang ramai agar terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan, serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat yang sedang beroperasi di seluruh negeri.

Banjir semakin buruk di beberapa daerah

Sementara itu, laporan awal memaklumkan beberapa daerah termasuk Penampang, Tuaran, Kota Belud, Beaufort, Beluran, Lahad Datu dan Sandakan antara yang paling terjejas dengan banjir dan tanah runtuh.

Ratusan penduduk telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, manakala jalan utama yang menghubungkan beberapa daerah dilaporkan terputus akibat banjir besar.

Di Penampang, air Sungai Moyog dilaporkan melimpah sejak tengah malam tadi, menyebabkan puluhan rumah dinaiki air.

Bekalan elektrik terjejas

Insiden tanah runtuh di beberapa kawasan turut menjejaskan tiang menara elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), mengakibatkan gangguan bekalan kepada ratusan ribu pengguna di Pantai Timur Sabah termasuk Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran.

Pasukan teknikal SESB kini bekerja 24 jam tanpa henti melaksanakan langkah pemulihan segera, termasuk pemasangan menara kecemasan dalam tempoh terdekat sebelum pembinaan menara kekal dapat dijalankan.

Pasukan penyelamat termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba, polis serta agensi RELA kini dikerahkan sepenuhnya bagi membantu pemindahan mangsa dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan berisiko. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat