Buat Saringan Covid-19 Segera Jika Bergejala – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan individu bergejala atau berisiko tinggi terutama kontak rapat supaya segera menjalani ujian saringan Covid-19 dan melaporkan kepada KKM melalui aplikasi MySejahtera.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, saringan Covid-19 itu boleh dilakukan sama ada dengan menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) atau hadir ke fasiliti kesihatan berdekatan.

“Pengesanan awal kes Covid-19 dengan menggunakan kit ujian kendiri ini boleh membantu individu terbabit memantau kesihatan dan menilai risiko kendiri bagi mendapatkan rawatan kesihatan sebelum terlambat, sekali gus mengurangkan kes Brought-in-Dead (BID).

“Selain itu, ujian kendiri Covid-19 mudah dan pantas untuk dijalankan di samping mempercepatkan proses individu positif dikenal pasti dan seterusnya diasingkan supaya risiko penyebaran kepada individu lain terutama golongan rentan dapat dikurangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, masyarakat dinasihatkan supaya menggunakan kit ujian kendiri diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi mendapatkan keputusan sah.

Beliau berkata, setiap individu wajib melaporkan hasil keputusan ujian itu dalam aplikasi MySejahtera sama ada keputusan positif, negatif atau tidak sah bagi membolehkan tindakan susulan diambil KKM.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan mewajibkan setiap pelancong ke Langkawi bermula pada 16 September ini untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan, beliau berkata, ia bertujuan memastikan pulau itu menjadi destinasi pelancongan selamat kepada semua pelancong dari dalam serta luar negara.

“Ujian saringan Covid-19 ini boleh dilakukan dengan menggunakan RTK- Ag (kendiri) seperti diumumkan Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) hari ini.

“Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan trend bilangan ujian dan kadar positif bagi keseluruhan ujian pengesanan SARS-CoV-2 iaitu PCR, RTK-Ag (profesional), dan RTK-Ag (kendiri) mengikut Minggu Epidemiologi (ME) menunjukkan peningkatan berterusan dan memberangsangkan sejak beberapa minggu lalu.

“Perkembangan ini lebih ketara dilihat sehingga 13 September lalu apabila sebanyak 758,919 ujian RTK-Ag (kendiri) dijalankan dengan 107,421 (14.5%) dikesan positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, amat penting untuk melaporkan semua keputusan ujian Covid-19 kepada KKM kerana ia akan mempengaruhi kadar positif jangkitan negara selain menunjukkan peningkatan kesedaran orang ramai akan kepentingan melakukan ujian pengesanan SARS-COV-2.

Menurutnya, walaupun KKM sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti ujian pengesanan SARS-COV-2 di fasiliti kesihatan kerajaan mahupun swasta, kerjasama orang ramai melakukan ujian saringan kendiri akan membantu.

“Justeru itu, KKM ingin menyeru semua pihak supaya berganding bahu bersama kerajaan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 melalui pendekatan whole-of-government, whole-of- society supaya kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Pemerkasaan individu dan masyarakat dengan melakukan saringan Covid-19 terutamanya melalui RTK-Ag (kendiri) ini akan membantu negara ke arah mencapai matlamat terbabit,” katanya. – HMetro

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,557FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat