UMNO, BN Sokong PN, Tapi Kekal Pendirian Tidak Jadi Komponen Rasmi – Zahid

- Advertisement -

TAWAU – Walaupun pendaftaran Perikatan Nasional (PN) telah diluluskan namun Barisan Nasional (BN) tetap bukan parti komponen dalam gabungan tersebut.

Itu penjelasan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bahawa PN telah pun didaftarkan.

“BN memberikan sokongan kepada PN berdasarkan kepada sokongan ahli-ahli Parlimen. Sokongan BN terutamanya UMNO bukan parti komponen kepada PN, itu telah saya jelaskan beberapa kali.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan kepada keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO,” katanya selepas bersama dengan pengundi-pengundi di PDM Keramat, Kampung Pukat bagi DUN Tanjung Batu malam tadi.

Hadir sama calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Andi Muhammad Surady Bandy dan calon DUN Kukusan, Chaya Sulaiman.

Kelulusan pendaftaran PN disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menerusi satu kenyataan semalam.

Menurut kenyataan Ros, PN telah didaftarkan melalui pengeluaran sijil pendaftaran PPM-019-14-07082020 yang dilulus dan ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan pada 7 Ogos 2020 di bawah kategori politik selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Kenyataan RoS menyusul selepas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman pada hari ini mendakwa PN tiada rekod dalam pendaftaran RoS.

Ditanya mengenai status gabungan itu kepada BN, Ahmad Zahid berkata, semua komponen parti itu tidak menyertai PN dan masih bersama BN.

“Tidak ada satu parti dalam BN pun yang sertai PN kerana BN terdiri daripada empat parti, iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

“Keempat-empat parti ini bukan gabungan dalam Muafakat Nasional tetapi Ahli-ahli Parlimen kami menyokong kerajaan PN sebagaimana yang telah kami kemukakan kepada Yang di-Pertua Agung ketika akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen dibuat untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Walaupun kami bukan parti dalam PN tetapi jelas bahawa kerjasama di PRN Sabah ini terjalin dengan baik malah kami juga buat penyelarasan di peringkat negeri dan kami turunkan di peringkat DUN dan juga di peringkat PDM,” jelas Ahmad Zahid lagi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan BN dan UMNO tidak berhasrat untuk menyertai gabungan PN sebagai gabungan parti politik.

BN dan UMNO bagaimanapun tetap menyokong kepimpinan Muhyiddin dan mengalu-alukan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai sebahagian daripada Muafakat Nasional. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat