KUALA LUMPUR- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menyuarakan kebimbangan mengenai kes pembunuhan kejam di Malaysia mutakhir ini.
Beliau berkata al-Quran jelas menyatakan sesiapa yang membunuh satu jiwa seolah-olah dia membunuh seluruh umat manusia.
“Pembunuhan yang dilakukan sangat kejam. Tidak kira apa pun motifnya, kita mempunyai undang-undang.
“Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang seadil-adilnya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Koha Islamic Digital di sini, hari ini.
Mohd Na’im berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meningkatkan usaha dakwah, penerangan dan penjelasan kepada masyarakat supaya lebih memahami implikasi tindakan kejam.
“Kita sedang mempergiatkan usaha dalam aspek psikospiritual. Kita tidak tahu masalah tekanan dalaman dihadapi.
“Elemen psikologi dan spiritual digabungkan untuk menyelamatkan umat. Kita tidak mahu hanya menggunakan kaedah psikologi moden tanpa memperkukuhkan aspek spiritual,” katanya lapor BH pada Khamis.
Beliau berkata JAKIM juga menghantar pegawai yang dilatih dalam psikospiritual untuk membantu mereka yang mengalami masalah tekanan perasaan.
“Dalam masa sama, kita mengajak masyarakat untuk berfikir. Bagi mereka yang mahu melakukan perkara yang zalim, mereka perlu berfikir kerana mereka akan dipertanggungjawabkan bukan sahaja di dunia dengan hukuman tetapi juga di akhirat,” katanya.