Kerajaan Selangor Serah Surat Niat (LOI) Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam

- Advertisement -

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor hari ini menyerahkan Surat Niat (“LOI”) kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (“MRCB”) bagi memohon cadangan terperinci mengenai pembangunan Stadium Shah Alam yang berusia hampir 30 tahun dan kawasan sekitarnya.

Disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha
Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haji Haris Bin Kasim menyampaikan LOI tersebut kepada Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan bin Hyder Khan, dalam satu majlis yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Ketika memberi penerangan kepada media mengenai projek tersebut, Amirudin berkata keputusan mengenai pembangunan yang dirancang ini diambil setelah proses yang panjang dan teliti dilaksanakan bermula dari tahun 2013.

“Kerajaan Negeri menyedari maklum balas orang ramai mengenai Stadium Shah Alam ini. Ada yang mahu Kerajaan Negeri membaiki kemudahan sukan ini dan mengembalikan zaman kegemilangannya.

“Ada juga yang merasakan bahawa kita harus membina semula dengan kemudahan moden dan memberikan nafas baharu kepada stadium ini. Berdasarkan anggaran terbaru, kos keseluruhan untuk membaik pulih Stadium Shah Alam adalah sekitar RM787 juta.

“Setakat ini, tiada sebarang keputusan dibuat dan bakal pemaju dijangka mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri yang akan memberi manfaat kepada Selangor dan rakyat negeri ini,” katanya.

Tambah Amirudin, beliau amat arif dengan isu-isu yang menyelubungi Kompleks Sukan Shah Alam kerana beliau bukan sahaja pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor bagi portfolio Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Keusahawanan, tetapi juga pernah menjadi Pengurus Pasukan Bola Sepak Selangor antara 2015 sehingga 2017, yang juga merupakan kali terakhir kelab tersebut memenangi Piala Malaysia pada 2015 di Stadium Shah Alam.

Beliau juga menjemput orang ramai untuk berkongsi maklum balas mengenai cadangan pembangunan kompleks sukan itu dengan menghantar idea mereka ke platform digital Kompleks Sukan Shah Alam iaitu @KompleksSukanSA di Facebook dan Twitter.

Satu pameran mengenai pembangunan kompleks sukan ini juga akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan September agar orang ramai lebih memahami isu-isu yang menyelubungi rancangan pembangunan yang dicadangkan. Orang ramai juga boleh berkongsi maklum balas mereka di pameran tersebut.

Selain itu, beliau turut menjawab kebimbangan mengenai bebanan kewangan yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri akibat daripada projek ini ketika rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup seperti inflasi.

“Projek pembangunan ini akan menjadi satu perkongsian awam-swasta dengan penyelesaian menang-menang untuk semua. Di pihak Kerajaan Negeri, tiada dana awam yang akan diguna pakai untuk projek ini.

“Usaha ini bukan sahaja berteraskan kelestarian kewangan, tetapi juga kelestarian alam sekitar kawasan ini. Kami juga menjangkakan kesan limpahan ekonomi yang amat besar, bukan sahaja di kawasan sekitarnya, tetapi juga kepada Negeri Selangor secara keseluruhannya,” katanya.

Menurut beliau lagi, MRCB telah dikenal pasti untuk menghantar cadangan selepas melalui proses pemilihan, yang menyaksikan 15 syarikat lain mengambil bahagian, termasuk syarikat antarabangsa dan syarikat tersenarai awam.

“Projek tersebut dijangka akan memanfaatkan akses dan kelebihan sedia ada di kawasan itu, seperti lokasi strategiknya dan jaraknya yang dekat dengan stesen bagi laluan LRT3, yang dijadualkan beroperasi menjelang 2024,” ujarnya lagi.

Sementara itu, bagi pihak MRCB, Datuk Dell Akbar menzahirkan rasa terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor atas keyakinan terhadap syarikat tersebut untuk merangka pelan pembangunan bagi projek ini.

“Kami memahami perhatian dan tumpuan yang diberikan terhadap projek ini, terutamanya sentimen rakyat Selangor yang membesar dengan Stadium Shah Alam yang amat dekat di hati mereka.

“Kami juga mengalu-alukan maklum balas orang ramai agar kami dapat mengemukakan satu cadangan yang mengambil kira kepentingan setiap pihak, terutamanya orang awam dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Majlis hari ini turut dihadiri EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan & Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor; YB Tuan Mohd Khairuddin bin Othman, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, pegawai kanan Kerajaan Selangor, wakil Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (“MBI Selangor”), Persatuan Bola Sepak Selangor dan Selangor FC.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat