Artis teruja jadi sukarelawan PPV

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semakin ramai golongan selebriti turun padang bagi menyumbang tenaga sebagai sukarelawan bagi menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Bukan sekadar mengisi masa terluang, malah ramai berpendapat, tugas sukarelawan dapat membantu petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negeri ketika pelaksanaan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak dua bulan lalu.

Selain Fizo Omar, Isma Aizal Yusoof, Adam Shahz, Aniq Suhair, Mimi Lana dan Daiyan Trisya, terbaharu, penyanyi, Bob Yusof dan pendatang baharu, Syahmi Irfan pula terbabit di program di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) itu.

Bob berkata, dia teruja dapat membantu petugas barisan hadapan di PPV UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Sungai Buloh memandangkan kerjaya sebagai penyanyi terhenti seketika.

“Saya seronok dapat membantu petugas barisan hadapan dan berjumpa masyarakat. Sememangnya, ia adalah pengalaman berharga kerana dapat belajar banyak perkara baharu.

“Lagipun, saya memang tidak melakukan apa-apa kerja di rumah, jadi mengapa tidak membabitkan diri dengan perkara berfaedah. Saya sudah terbiasa dengan aktiviti kebajikan, jadi saya terpanggil untuk memohon apabila ada program sukarelawan berdekatan dengan rumah.

“Saya lebih seminggu saya terbabit sebagai sukarelawan di PPV UPSC. Insya-Allah, saya akan bertugas sepanjang minggu ini. Saya bertugas mengikut jadual, tetapi saya boleh meminta pengecualian sekiranya mempunyai tugasan berkaitan dunia nyanyian. PPV UPSC memahami pekerjaan saya,” katanya kepada BH Online.

Mula bertugas sejak 5 Julai lalu, Bob atau nama sebenarnya, Yusrizan Usop, 39, berkata, dia sentiasa berhati-hati ketika memikul tugas sebagai sukarelawan bagi mengelak jangkitan COVID-19.

“Tidak dinafikan, kita tidak tahu siapa yang ada gejala COVID-19. Namun, saya perlu ambil langkah berjaga-jaga. Saya dibekalkan sarung tangan, cecair pembasmi kuman, pelindung muka dan sebagainya.

“Saya sentiasa menjaga penjarakan fizikal dan saling mengingatkan antara satu sama lain jika ada yang terleka. Apabila pulang ke rumah, saya akan terus mandi dan tukar baju.

“Apapun, saya perlu menjaga diri sendiri disebabkan saya memilih tugasan menjadi sukarelawan,” katanya.

 

Bob Yusof seronok melihat telatah masyarakat apabila membantu menenangkan mereka yang takut dengan jarum. - Foto PPV UPSC
Bob Yusof seronok melihat telatah masyarakat apabila membantu menenangkan mereka yang takut dengan jarum. – Foto PPV UPSC

 

Berkongsi pengalamannya, Bob berkata, dia terleka melihat gelagat orang ramai.

“Antara insiden mencuit hati apabila ada yang takut jarum, tetapi bukan takut vaksin. Mereka cuma berdebar melihat jarum walaupun saiznya sangat kecil.

“Bagaimanapun, saya seronok dapat membantu menenangkan dan menemani mereka sebab saya sendiri pernah mengalami perkara sama,” katanya.

Sementara itu, penyanyi, Syahmi mengakui, sangat teruja bertugas sebagai sukarelawan kerana dapat bertemu rakan baharu.

Syahmi yang juga pemain badminton profesional dan pernah bermain untuk skuad kebangsaan berkata, dia akan terus menyumbang tenaga selagi kudratnya diperlukan.

“Sebelum ini, jika tiada kelas atau aktiviti nyanyian, saya banyak menghabiskan masa dengan bermain badminton. Namun, sekarang latihan badminton tidak boleh dijalankan, jadi saya pilih jadi sukarelawan sebagai aktiviti terbaik ketika Fasa Satu PPN.

“Saya menyertai kerja sukarelawan selepas rakan mengajak saya memohon. Alhamdulillah, permohonan saya diterima. Mengenai kerisauan terhadap jangkitan COVID-19, saya tolak tepi dan hanya bertawakal.

“Saya melakukan tugas dengan ikhlas bagi membantu petugas barisan hadapan dan orang ramai. Sebab hari ini saya bantu orang, mungkin esok lusa orang pula membantu saya,” katanya.

Penuntut Diploma Sains Sukan, UiTM ini hanya bertugas pada hari bekerja, mengikut kelapangan sebagai penuntut.

 

Syahmi Ifran yang juga pemain badminton profesional akan terus menyumbang tenaga sebagai sukarelawan PPV selagi kudratnya diperlukan. - Foto PPV UPSC
Syahmi Ifran yang juga pemain badminton profesional akan terus menyumbang tenaga sebagai sukarelawan PPV selagi kudratnya diperlukan. – Foto PPV UPSC

 

Pelantun lagu Mungkir juga seronok dapat meluangkan masa bersama artis senior seperti Bob dan pelakon, Dottie di PPV UPSC.

Selain itu, antara personaliti lain yang meluangkan masa menjadi sukarelawan adalah pengacara televisyen, Hafez Dolson dan Zahira Radzi.

Sementara itu, Pengurus Kanan, Strategi dan Perkhidmatan Korporat, Mohd Ikhmal Azzmin berkata, pembabitan selebriti sebagai sukarelawan di PPV UPSC diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dalam memerangi pandemik COVID-19.

“PPV UPSC membuka ruang kepada selebriti menabur budi kepada masyarakat, sekali gus menjadikan mereka contoh terbaik kepada masyarakat. Kami mahu menggalakkan anak muda menjadi sukarelawan di PPV.

“Ia juga bertujuan menggalakkan orang ramai mendaftarkan diri untuk divaksinasi. Kami percaya pembabitan selebriti sebagai sukarelawan di PPV UPSC mampu meningkatkan kesedaran masyarakat dan menarik lebih ramai berdaftar untuk divaksinasi.

“Kami sedar masih ramai rakyat Malaysia takut atau kurang percaya menjadi penerima vaksin. Jadi, selebriti memainkan peranan penting di mana kecenderungan mempercayai mereka lebih tinggi terutama pada kalangan peminat.

“Kami percaya ia memberi impak besar terhadap pendaftaran vaksinasi, memandangkan golongan selebriti mempunyai jumlah pengikut ramai, selain aktiviti sukarelawan mendapat liputan meluas media serta laman sosial,” katanya.

Ikhmal berkata, tugas selebriti sebagai sukarelawan di PPV UPSC sama seperti sukarelawan lain bagi membantu dalam memastikan operasi dan kelangsungan PPV UPSC berjalan lancar mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka bertugas antara jam 8 pagi hingga 5 petang dengan masa istirehat secara bergilir,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat