Norway hanya bekalkan teknologi pertahanan canggih kepada sekutu paling rapat : laporan

KUALA LUMPUR – Norway semalam mengesahkan pembatalan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) ke Malaysia.

Tindakan itu susulan sekatan lebih ketat dikenakan Norway terhadap teknologi pertahanan sensitif mereka, mengambil kira landskap keselamatan global yang semakin berubah.

Pengesahan berkenaan muncul ketika Putrajaya sedang berusaha menangani implikasi daripada situasi mengejut itu, yang kini mencetuskan ketidakpastian terhadap program Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti pembekal pertahanan Eropah.

Teknologi hanya kepada rakan sekutu Norway

Dalam maklum balas kepada New Straits Times, Kementerian Luar Negeri Norway menyatakan pembatalan itu berkait dengan peraturan kawalan eksport lebih ketat yang kini mengehadkan teknologi pertahanan canggih buatan Norway hanya kepada sekutu dan “rakan paling rapat” negara itu.

“Kementerian Luar Negeri (Norway) boleh mengesahkan bahawa lesen berkaitan eksport teknologi pertahanan tertentu ke Malaysia telah dibatalkan.

“Ini disebabkan pelaksanaan peraturan kawalan eksport Norway, dan adalah dikesali perkara ini menjejaskan Malaysia,” kata jurucakap kementerian itu, memetik akhbar itu.

Bagaimanapun, kementerian berkenaan enggan mengulas lanjut mengenai kes terbabit dengan memetik sekatan undang-undang di bawah Akta Kawalan Eksport Norway.

“Tugas kerahsiaan di bawah Akta Kawalan Eksport adalah ketat. Justeru, Kementerian Luar Negeri tidak dapat mengulas mengenai kes individu,” tambah jurucakap itu.

Menurut Norway, pendekatan itu dibentuk oleh keadaan keselamatan yang berkembang di Eropah dan seluruh dunia, sekali gus mendorong kerajaan mereka memperkukuh pengawasan ke atas teknologi pertahanan yang dibangunkan dalam negara.

“Landskap dasar keselamatan di Eropah dan global telah berubah dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Oleh itu, kerajaan telah berusaha dari semasa ke semasa untuk memperkukuh kawalan ke atas teknologi pertahanan yang dibangunkan di Norway.

“Eksport bagi sesetengah teknologi pertahanan paling sensitif buatan Norway akan dihadkan kepada sekutu dan rakan paling rapat kami sahaja,” kata jurucakap itu.

Bagaimanapun, Norway menegaskan bahawa mereka menghargai hubungan dua hala dengan Malaysia dan berharap kerjasama serta dialog membina antara kedua-dua negara akan diteruskan.

Kenyataan Kementerian Luar Negeri Norway itu menyokong penilaian suram Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengenai situasi terbabit.

Khaled memaklumkan bahawa hingga kini, tiada petunjuk positif bahawa kerajaan Norway akan menarik balik keputusan berkenaan.

“Setakat ini negatif,” katanya kepada New Straits Times semalam apabila ditanya sama ada terdapat petanda awal bahawa Malaysia masih akan menerima peluru berpandu tersebut seperti yang dikontrakkan.

Khaled ditanya mengenai bayaran balik jumlah yang sudah dibayar kepada pemaju sistem NSM, Kongsberg Defence and Aerospace (KDA), sekiranya penghantaran tidak dapat diteruskan.

Beliau berkata, petunjuk pertama mengenai masalah perolehan NSM muncul apabila penghantaran tidak dipenuhi pada Mac lalu.

Dalam sidang media sebelum ini, Mohamed Khaled memaklumkan kementeriannya sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menilai skop penuh tindakan undang-undang terhadap KDA.

Langkah itu diambil kerana kerajaan sudah membayar hampir 95 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak, berjumlah lebih RM500 juta.

Khaled menambah, pihaknya kini sedang meneroka alternatif bagi sistem NSM, dengan jawatankuasa berasingan sedang meneliti perkara tersebut.

Sebelum ini, Khaled menyatakan beliau akan bertemu rakan sejawatannya dari Norway di Singapura pada akhir bulan ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan mengejut Norway menyekat lesen eksport NSM ke Malaysia.

Pertemuan itu, katanya, turut akan digunakan untuk menyuarakan rasa kecewa dan terkejut Malaysia terhadap pembatalan penghantaran itu, hanya beberapa hari sebelum tarikh yang dijadualkan pada Mac.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau telah menyampaikan “bantahan keras” Malaysia dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre, berhubung keputusan membatalkan lesen eksport bagi sistem NSM dan sistem pelancar berkaitan.

Anwar menyifatkan tindakan itu sebagai “sepihak dan tidak boleh diterima,” serta memberi amaran bahawa ia akan membawa “akibat buruk” terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan LCS.

Beliau juga mempersoalkan kebolehpercayaan pembekal pertahanan Eropah sekiranya kontrak pertahanan yang telah ditandatangani boleh ditarik balik secara sepihak.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat