Ismail Sabri Pelopor Demensi Politik Baharu Malaysia

- Advertisement -

OLEH: Asyraf Afnan Bin Ahmad Mustadza

Aspirasi Keluarga Malaysia yang melabuh tirainya telah menjadi manifestasi hasrat sebenar Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan kepemimpinannya untuk menampilkan satu dimensi politik baharu bagi Malaysia yang mengetengahkan elemen keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Politik yang mementingkan kestabilan, khususnya dalam aspek pentadbiran kerajaan dan perjalanan di institusi Parlimen khususnya Dewan Rakyat. Ini semua bagi memenuhi satu matlamat, supaya masalah serta isu yang sedang membelenggu rakyat dan negara pada ketika ini terus menjadi fokus, keutamaan, dan pertimbangan utama setiap dasar dan keputusan dalam pentadbiran kerajaan pada hari ini.

Bagi menjayakan aspirasi ini, Keluarga Malaysia dipilih sebagai penanya. Satu gagasan bagi melambangkan kepelbagaian etnik dan budaya dalam masyarakat kita, di samping kesemuanya membulat satu tekad, hasrat, keinginan, dan cita-cita yang sama untuk melihat negara ini terus makmur dan supaya kita semua dapat hidup dalam suasana penuh harmoni dan gembira.

Pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018, politik negara diletakkan pada kedudukan yang sedikit tergugat. Masalah dalaman parti kerajaan ketika itu meletakkan asas kestabilan politik dalam keadaan terganggu dan tidak menentu. Akhirnya, rakyat terpaksa menyaksikan kerajaan yang mereka pilih dalam pilihan raya lalu, terkubur dan terpaksa beralih tangan.

Sebaik kerajaan baharu mengambil alih pula, kita menyaksikan isu kestabilan politik ini terus berpanjangan tanpa sudah. Lebih memeritkan, dalam kedudukan politik tidak terurus ini, negara berdepan pula dengan masalah pendemik COVID-19.

Pandemik ini memberi kesan maha dahsyat, bukan sahaja kepada Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Kita menyaksikan ekonomi banyak negara menguncup, manakala ada yang sudah di ambang krisis – pengangguran meningkat mendadak sehingga pernah merekodkan kadar tertinggi 5.3 peratus – dan mereka yang diberhentikan kerja hampir saban hari dilaporkan media massa.

Pengusaha terpaksa menutup perniagaan, malah ada yang tidak mampu meneruskan perniagaan dan akhirnya rebah, dengan kerugian ribuan, malah jutaan ringgit yang terpaksa ditanggung.

Ketika masalah pandemik belum pun reda sepenuhnya, politik negara kembali tergugat dan kerajaan sekali lagi beralih tangan.

Dalam kedudukan politik sebegini, YAB Perdana Menteri terpaksa menggalas amanah yang amat perit dan menyukarkan. Sukar bagi mana- mana pun pemimpin untuk menerajui pentadbiran kerajaan dalam suasana seperti ini, apatah lagi memikul amanah besar di bahunya, bukan hanya untuk kembalikan semula asas kestabilan politik yang goyah sebelumnya, bahkan yang lebih penting, supaya rakyat dapat terus hidup mendepani era COVID-19 yang maha menggerunkan ini.

Atas sebab itu, gagasan Keluarga Malaysia, yang usianya baru menjangkau 100 hari, secara sedar atau tidak, mula menukilkan rasa kasih sayang yang terzahir secara ikhlas daripada jiwa seluruh rakyat Malaysia.

Ibaratnya, ia satu seruan untuk kita tempuhi waktu susah dan senang ini bersama. Kita hadapi pancaroba ini, dan kita bersama mengembalikan kegemilangan buat Malaysia. Atas kejiwaan inilah, rakyat semakin hari melihat Keluarga Malaysia bukanlah sebagai satu pendekatan yang eksklusif, tetapi inklusif. Ia tidak mengenal apa pun kedudukan, pangkat, etnik, dan ras kita, tetapi yang dilihat ialah cerita kita bersama.

Rakyat mula berasa bahawa pemimpin yang memandu gagasan ini benar-benar mendampingi hati dan sanubarinya, dan sedikit sebanyak menjadi harapan mereka dalam mencari jalan keluar daripada situasi mencabar selepas ini. Buktinya, kehadiran dan sokongan rakyat pada

sambutan 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hujung minggu lalu, amat meriah dengan kehadiran puluhan ribu pengunjung yang datang dari seluruh negara, khususnya dari Lembah Klang.

Realitinya juga, gagasan Keluarga Malaysia tidak pernah sama sekali mengetepikan mereka yang susah dan masih memerlukan bantuan. Dalam Belanjawan 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera contohnya, peruntukan sebanyak RM332.1 bilion disediakan bagi tahun hadapan, lantas menjadikannya belanjawan tertinggi berbanding belanjawan-belanjawan yang pernah diumumkan kerajaan sebelum ini.

Di bawahnya, tersedia lebih 50 inisiatif membantu rakyat, termasuklah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai tiga anak atau lebih dan berpendapatan kurang RM2,500, sementara bantuan tambahan RM500 diberi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan sehingga RM5,000. Manakala, bantuan tambahan RM300 pula diberikan kepada warga emas menerusi BKM.

Kerajaan juga bersetuju meneruskan inisiatif Bantuan Awal Persekolahan dengan peningkatan jumlah bantuan kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini, yang dijangka akan manfaatkan 3 juta murid yang layak, selain meneruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan peruntukkan RM400 juta.

Sementara itu, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang diumumkan YAB Perdana Menteri, menjadi pemangkin kepada hala tuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Ia direncana dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama, serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

RMK-12 juga merupakan satu pelan pembangunan menyeluruh, menampilkan tiga Tema dan empat Pemangkin Dasar, serta 14 Pemacu Perubahan.

Dalam usaha negara mengukuhkan kembali ekonomi dan keyakinan pelabur luar, YAB Perdana Menteri mengambil pendekatan tuntas dengan mengadakan siri lawatan kerjanya ke luar negara, khususnya di negara-negara ASEAN, bermula dengan Indonesia dan diikuti dengan Singapura.

Lawatan ini penting bagi memastikan kerjasama hubungan dua hala terus diperkukuh, selain usaha bersama dapat dilakukan bagi mencari penyelesaian segera terhadap pelbagai isu serantau, termasuklah berkaitan keselamatan perairan, isu pekerjaan, ekonomi, serta perdagangan.

Dalam siri lawatan ke Indonesia itu, selain mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo, YAB Perdana Menteri turut bertemu dengan komuniti perniagaan dan penggiat industri utama Indonesia, ketua-ketua editor negara jiran itu, dan diaspora Malaysia di republik berkenaan, selain menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian antara kedua-dua negara.

Selesai itu, YAB Perdana Menteri kemudian mengadakan siri lawatan ke Singapura untuk bertemu dengan Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong. Kemuncak lawatan kerja itu sudah pasti pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VCL) laluan darat Singapura-Malaysia yang begitu dinanti ratusan ribu rakyat, khusususnya warga pekerja yang sebelum ini berulang-alik ke Singapura untuk mencari rezeki.

Pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen ini sudah pasti berupaya meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara, selain melepaskan kerinduan buat keluarga yang lama terpisah sebelum ini.

Sebagai bapa kepada gagasan Keluarga Malaysia, sikap terbuka yang ditunjukkan YAB Perdana Menteri amat disenangi ramai pihak, baik pemimpin negara, ahli politik, mahupun rakyat jelata. Beliau kini menjadi nadi penting dalam usaha mencapai kembali kestabilan politik yang pernah rapuh sebelum ini. Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan, beliau sudah melakar satu sejarah penting bagi negara apabila beliau memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

MOU dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung di dewan bankuet Parlimen itu menyentuh enam perkara utama, iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan pembentukan jawatankuasa pemandu. MOU ini membulat ruang kerjasama antara kerajaan dan pembangkang dalam mencari titik persamaan bagi menyelesaikan isu yang sedang menghambat rakyat dan negara, khususnya ketika pandemik ini.

Hasil kerjasama itu, kita menyaksikan Belanjawan 2022 dan RMK-12 diluluskan tanpa undian belah bahagi di Dewan Rakyat, malah ketika sesi perbahasannya, seluruh negara dapat menyaksikan bagaimana ahli Parlimen, baik dari kerajaan dan pembangkang, dapat menggunakan ruang demokrasi di dalam Dewan Rakyat untuk benar-benar membincangkan perkara dan isu yang berkait dengan kepentingan rakyat serta negara. Segala hujah balas, teguran, kritikan, malah pujian dizahirkan atas semangat kebersamaan sebagai Keluarga Malaysia.

Lebih manis juga sudah pasti kejayaan kerajaan Keluarga Malaysia meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan sokongan majoriti dua pertiga, iaitu rang undang-undang berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Manfaat yang dinikmati di sebalik kelulusan pindaan ini sudah pasti bakal dirasai seluruh rakyat Sabah dan Sarawak.

Pindaan ini juga menjadi asas penting dalam usaha mengukuhkan lagi autonomi Sabah dan Sarawak, khusunya kedudukan dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping menunjukkan peranan dua negeri ini sebagai entiti penting pada 1963, iaitu ketika pembentukan Malaysia dahulu. Kelulusan ini telah menzahirkan sikap keterbukaan YAB Perdana Menteri mendengar dan menerima pandangan daripada kepimpinan di dua negeri ini, sekaligus menjadi asas penerimaan buat seluruh Ahli Parlimen, baik di blok kerajaan, mahupun pembangkang.

Penulis ialah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Penyelidik MPhil Economy and Politics King’s Collage London, University of London

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat