Dihimpit lelaki lepas pakai kereta mewah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi Wani Kayrie, 22, bukan sahaja menerima mesej langsung dalam laman sosial, malah, kekasih lama yang pernah meninggalkannya menghimpit kembali selepas melihat kejayaannya hingga mampu memiliki kereta mewah dalam usia yang muda.

Namun, bagi Wani, dia tidak peduli sesiapa pun cuba mendekati kerana apa yang berlalu sudah tiada makna lagi. Dia hanya mahu memandang ke hadapan dan memberikan fokus pada kerjaya seninya.

“Tidak dinafikan, ada jejaka tidak dikenali menghantar mesej langsung untuk berkenalan. Malah, kekasih lama juga muncul semula secara tiba-tiba.

“Tetapi, saya enggan terlalu memikirkannya kerana bagi saya, manusia datang dan pergi dalam hidup. Jadi, saya lebih suka membiarkan ia berlalu begitu sahaja.

“Lagipun, saya masih muda dan perjalanan masih panjang untuk mengecapi impian dalam hidup. Jadi, buat masa ini, saya hanya ingin memberikan fokus kepada kerjaya seni,” katanya kepada BH Online.

Ditanya selepas memperoleh kereta mewah, apakah perkara yang ingin dicapai dalam hidup, Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah berkata, dia ingin mengumpul harta dan membeli kediaman selesa buat keluarganya.

“Selepas kereta, saya ingin memiliki rumah untuk dijadikan sebagai pelaburan. Lagipun, kerjaya saya memang sepenuhnya dalam bidang seni, jadi saya perlu bekerja dengan lebih gigih untuk membeli rumah pula.

“Kediaman adalah salah satu pelaburan baik. Jadi, sasaran saya membeli rumah bagi persiapan masa depan,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama 3 Nota Cinta secara virtual, hari ini.

Selain Wani, drama arahan Emi Suffian yang turut dibintangi Ashraf Muslim dan Sharifah Rose itu menghiasi slot Akasia di TV3, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.

 

Wani sahut cabaran bawa watak isteri dalam drama 3 Nota Cinta. - Foto Ihsan TV3
Wani sahut cabaran bawa watak isteri dalam drama 3 Nota Cinta. – Foto Ihsan TV3

 

Berkongsi pembabitannya dalam drama 3 Nota Cinta, Wani berkata, watak Aini berbeza daripada karakter yang pernah dilakonkan sebelum ini.

Sebelum ini, kata penyanyi lagu Aksara Cinta itu, dia sering diberikan watak ‘happy go lucky. Namun, kali ini, watak Aini disifatkan agak berat apabila perlu memegang watak seorang isteri.

Sebagai gadis masih bujang, Wani mengakui, watak isteri agak mencabar buatnya. Namun, beruntung mendapat tunjuk ajar pengarah dan penolong pengarah bagi menghayati watak isteri.

“Awalnya, saya dalam persimpangan sama ada mahu menerima watak Aini, maklumlah saya masih muda dan belum berkahwin. Tentunya, agak mencabar.

“Namun, saya ambil cabaran dengan banyak menonton filem dan drama episod bagi menghayati watak seorang isteri.

“Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar pengarah dan penolong pengarah, saya berjaya menghayati watak Aini. Mereka berpuas hati dengan hasil lakonan, malah, memuji saya cepat belajar dan faham tunjuk ajar mereka,” katanya.

Tatkala diusik adakah sudah bersedia menamatkan zaman bujang apabila menerima watak isteri, Wani bagaimanapun menepis usikan, malah, belum terfikir ke arah itu.

Sebagai anak sulung, Wani berkata, dia mempunyai tanggungjawab besar yang harus dijalankan.

“Setakat ini, soal jodoh bukan keutamaan, saya hanya ingin fokus pada kerjaya. Tidak dinafikan apabila semakin meningkat usia, banyak pula kontroversi menghimpit saya.

“Namun, saya juga mempunyai banyak komitmen, lebih lagi, saya anak sulung dan menjadi harapan keluarga. Jadi, saya mahu fokus dahulu pada kerjaya,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat