KUALA LUMPUR- Tiada masalah untuk Petroleum Sarawak Berhad (Petros) bekerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) demi kebaikan bersama di negara ini.
Penjelasan ini disampaikan bagi meredakan persepsi segelintir pihak yang mendakwa kerjasama antara kedua-dua syarikat gergasi minyak dan gas itu akan menimbulkan persaingan sengit dan merugikan Sarawak.
Premier Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Petronas merupakan syarikat kebangsaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri minyak dan gas di Malaysia.
Malah pada masa sama, katanya Sarawak sentiasa bersedia memberikan kerjasama.
Bagaimanapun beliau turut menegaskan bahawa hak negeri harus dihormati berdasarkan peruntukan perlembagaan.
“Mengikut perlembagaan, kawasan ini adalah dalam lingkungan kepunyaan Sarawak, dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, perkara berkaitan perlombongan tertakluk di bawah kuasa negeri,” katanya lapor TVS di Kuching dalam sesi townhall sempena lapan tahun Abang Johari sebagai Premier Sarawak di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC).
Abang Johari menjelaskan bahawa penubuhan Petros merupakan langkah strategik untuk memastikan Sarawak turut mengambil bahagian secara aktif dalam pengurusan dan pengeluaran sumber asli, selaras dengan hak perlembagaan negeri.
“Petros memainkan peranan sebagai aggregator tunggal bagi pengagihan gas di Sarawak. Ini bukan soal persaingan, tetapi soal kerjasama yang selaras dengan undang-undang,” tambahnya.
Antara lain, beliau turut menekankan pentingnya kerjasama erat antara Petros dan Petronas dalam projek strategik seperti pembangunan projek penangkapan, penyimpanan karbon (CCS) di Mukah.
Projek ini akan diusahakan secara bersama oleh Petros, Petronas dan Jepun, sekali gus menonjolkan potensi besar Sarawak dalam sektor tenaga bersih.
“Baru-baru ini, dengan Perdana Menteri Jepun, kita bersetuju untuk bekerjasama dalam projek CCS.
“Tidak ada masalah, kita kongsi untuk kebaikan bersama, mereka (Petronas) kongsi dengan kita begitu juga kita kongsi dengan mereka,” katanya.
Dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Abang Johari turut mengingatkan bahawa Sarawak memiliki hak mutlak terhadap sumber asli negeri yant dirujuk kepada Perkara 47 Perlembagaan Sarawak.
“Hak ke atas harta negeri diwarisi oleh Sarawak sejak Hari Malaysia, dan kita berhak menguruskan sumber ini serta berkongsi dengan pihak lain,” katanya.
Penegasan ini sekali gus menggariskan pendirian jelas kerajaan negeri bahawa kerjasama dengan Petronas bukan sahaja wajar, tetapi juga strategik untuk memastikan hasil sumber negeri dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi pembangunan Sarawak.