Mangsa banjir di Pahang terus mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, 14 Jan — Nasib mangsa banjir di Pahang terus mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, apabila baginda berangkat ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Serambi, Pekan, hari ini.

Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan tiga anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, turut kelihatan menyantuni penduduk kampung berkenaan dengan bertanya khabar.

Dalam lawatan berkenaan, Seri Paduka Berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada penduduk yang terjejas, bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir.

Dalam pada itu, badan korporat, sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) dari negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya zon merah, tidak dibenarkan melakukan aktiviti pasca banjir di Pahang.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain zon merah atau negeri dikenakan PKP, pihak terlibat perlu berdaftar di https://ebanjir.pahang.gov.my, serta wajib mendapatkan kelulusan merentas negeri daripada polis.

Sementara itu, situasi banjir di Sarawak kian serius apabila jumlah mangsa banjir di negeri itu mencatatkan peningkatan, dengan jumlah keseluruhan pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi kini 33.

Kuching mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,179 mangsa, termasuk seorang bayi berusia lapan bulan yang mempunyai masalah jantung berlubang, yang ditempatkan di pusat pemindahan di daerah itu.

Bagaimanapun, keadaan banjir di Sabah, Pahang dan Johor, semakin pulih apabila jumlah mangsa di PPS berkurangan, manakala banjir di Kelantan pula pulih sepenuhnya, selepas pusat pemindahan terakhir di jajahan Pasir Mas menamatkan operasinya petang ini.

Kesemua mangsa yang terjejas di jajahan Pasir Mas itu telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sekitar 6 petang tadi, berikutan keadaan cuaca baik dan tiada hujan sejak beberapa hari lepas.

– BERNAMA

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat