KUALA LUMPUR, 14 Dis — Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti komponen dalam kerajaan madani agar tidak mengambil ahli parti lain bagi mengekalkan keharmonian.
Ahmad Zahid menyatakan bahawa parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya mengambil ahli daripada parti gabungan lain untuk memelihara kepercayaan dan kerjasama bersama.
Beliau turut menggesa semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan mengekalkan perpaduan yang terjalin dalam gabungan itu.
Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas desas-desus kemungkinan penyertaan Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Semalam, SuaraTV melaporkan terdapat rundingan untuk membawa masuk Tengku Zafrul ke dalam PKR Ahad ini. Menurut sumber ia merupakan sebahagian perancangan peralihan jawatan Menteri Besar Selangor Datuk Amirudin bin Shari dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dalam masa yang sama Ahmad Zahid menyatakan tiada sebarang perbincangan atau pemakluman dari Tengku Zafrul mengenai perkara tersebut.
“Jadi, kita tidak dapat mengesahkan berita mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Ke-4 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.
Ahmad Zahid turut mengingatkan ahli dan pemimpin parti supaya mengutamakan kepentingan parti mereka daripada agenda peribadi.
“Sebarang agenda peribadi mesti diketepikan jika mahu parti mereka diutamakan. Jika kepentingan peribadi diutamakan, maka terpulang kepada ahli untuk menilai integriti orang itu,” katanya.-SUARATV