Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kalendar Program 2025 berkonsepkan ‘Menanda Ruang’ setelah menempuh 2024 dengan pelbagai aktiviti yang menarik, Balai Seni Negara terus komited dalam memastikan 2025 agar setiap golongan masyarakat mendapat manafaat melalui sajian program.
Ianya tidak hanya mempromosikan seni visual tempatan malah meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat dalam seni dan budaya Malaysia melalui tahun wacana, ‘knowledge transfer’ dan simposium.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman, berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Program Manifestasi Dua Seni dan Pelancaran Kalendar 2025 di Balai Seni Negara dekat sini pada Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff; Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Shaik Rizal Sulaiman; Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, Ahli-ahli Lembaga Pengarah LPSVN; Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Dr. Tan Awang Besar, dan penggiat seni.
Dalam majlis sama, Roslan turut merasmikan program ‘Manifestasi Dua Seni ’ yang dianjurkan pada November lalu sehingga Januari depan di seluruh negara, merupakan salah satu platform penting dalam memartabatkan karya seni dan sastera tanah air.
Beliau berkata, penganjurannya sejajar dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ucapannya dalam Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, untuk memartabatkan karya seni dan sastera negara serta memupuk minat golongan belia terhadap karya agung.
Menurut Roslan, sebanyak 11 buah program telah dianjurkan dengan penglibatan 10 buah program telah dianjurkan di seluruh negara seperti KALIMAT, Tukang Kata, Bahasa Balai, Tiga Seni Beratus Hati, Selendang Anum, Kongsi Rasa, Suara Rasa x Dendang Anak merupakan sebahagian dari pelbagai program yang menarik dan penuh penghayatan seni dan sastera berjaya dianjurkan.
Menurutnya, keunikan program ini melalui kolaborasi antara pelukis, penulis, penyair dan penggiat seni kreatif lainnya, ianya amat penting dan diharapkan dapat terus diadakan dimasa hadapan.
Menurutnya lagi, ianya mampu menjadi platform kepada para seniman dan sasterawan untuk berkongsi karya mereka dengan masyarakat.
Balai Seni Negara dalam kenyataannya memaklumkan ‘Kalendar Program 2025’ yang merupakan rangkuman pelbagai program kesenian dan kebudayaan yang dirancang sepanjang tahun.
“Manifestasi Dua Seni menawarkan pengalaman seni yang luar biasa, menggabungkan dua cabang seni utama iaitu seni visual dan sastera sebagai usaha bagi memperkukuh identiti budaya Malaysia.
“Ianya memberi tumpuan kepada kolaborasi antara pelukis, penulis, penyair, dan penggiat seni, dengan harapan mencipta pengalaman seni yang lebih bermakna.
“Dengan menampilkan karya-karya agung sastera dan seni visual, program ini turut memperkenalkan penulis dan pelukis dari pelbagai latar belakang kepada khalayak yang lebih luas, berperanan sebagai medium untuk menghargai karya-karya lama, sambil memberi ruang kepada karya baharu untuk berkembang,”katanya.
“Manifestasi Dua Seni menerima penglibatan daripada pelbagai persatuan seni dan budaya di seluruh negara, termasuk Roman Buku Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, PORT di Ipoh, Perak, Persatuan Pelukis Negeri Perlis, Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer), Senika di Kuantan, Pahang dan Kotak Seni di Kelantan.
“Selain itu, Ambeng Art Space di Johor, Kumpulan Pelukis Negeri Melaka, Persatuan Seni Visual Sabah, dan Haus KCH di Sarawak, turut serta dalam menjayakan program ini,”katanya lagi.
“Setiap persatuan menganjurkan aktiviti kesenian seperti pameran, bengkel seni, malam puisi, dan persembahan seni, yang menyerlahkan keunikan seni dan sastera di setiap negeri.
“Terdapat juga pertandingan melukis dan menulis berdasarkan karya agung, memberi peluang kepada peserta untuk mengekspresikan kreativiti mereka melalui seni visual dan penulisan,”ujarnya.
“Manifestasi Dua Seni dilihat sebagai sebuah wadah yang mampu mengangkat karya sastera agung ke tahap yang lebih tinggi bagi meraikan bakat tempatan, malah turut berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi serta pelbagai latar belakang budaya, demi memperkukuh warisan seni negara
“Pelancaran Kalendar Program 2025 dan Manifestasi Dua Seni mencerminkan aspirasi Balai Seni Negara untuk terus memperkasa peranan seni dalam membentuk identiti budaya negara, ”ujarnya lagi.
“Kalendar Program 2025 ‘Menanda Ruang ’memaparkan program Pameran Koleksi Tetap Negara antaranya, Pameran Satu Single; Pameran Projek Arkib Chung Chen Sun; Bakat Muda Sezaman (BMS), dan Pameran Imersif : Koleksi Seni Negara Sebagai Pustaka Imajinasi.
“Selain itu, Pameran Diplomasi Budaya : KePULAUan: Refleksi BIMP – EAGA Melalui Seni Kontemporari ; Merdeka Suka Cipta ; Pameran Koleksi Tetap 79-89 ; Kem Ilustra Botani ; Sebab Boleh Nat Ubah Suai ; Projek 99 Gugusan ; Langkawi International Marble Art Camp (Lain Macam), dan National Gallery of Contemporary (NGOCA).
“Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada perkembangan seni tempatan, menyatukan masyarakat melalui pelbagai aktiviti seni, sekaligus mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi seni dan budaya yang bertaraf antarabangsa, ”tambahnya.
“Untuk maklumat lanjut mengenai program anjuran Balai Seni Negara, boleh melayari laman sesawang di www.artgallery.gov.my. atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara,”tambahnya lagi. – SUARA.TV