WASHINGTON – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump mengeluarkan arahan baharu yang mencadangkan permohonan visa oleh individu berat berlebihan ke negara itu akan ditolak.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada dasar tegas imigresen yang diperkenalkan semula oleh Trump dalam penggal keduanya bagi mengawal kemasukan warga asing yang dianggap berisiko atau membebankan sistem negara.
Menurut garis panduan berkenaan, obesiti disenaraikan bersama beberapa penyakit lain seperti penyakit jantung, pernafasan, barah, diabetes, gangguan metabolik, neurologi serta kesihatan mental yang dianggap boleh menimbulkan kos rawatan tinggi kepada kerajaan, lapor Agensi.
Pegawai imigresen turut diarahkan menilai sama ada pemohon mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menanggung kos rawatan sepanjang hayat tanpa bergantung kepada bantuan kewangan awam atau kemasukan ke institusi kerajaan.
“Tidak menjadi rahsia bahawa pentadbiran Trump mengutamakan kepentingan rakyat Amerika,” kata jurucakap Rumah Putih, Tommy Pigott.
Bagaimanapun, arahan itu hanya terpakai kepada visa imigresen, bukan visa lawatan sementara (B-2) yang membenarkan individu datang ke AS bagi tujuan rawatan perubatan sebelum pulang ke negara asal.
Sejak kembali ke Rumah Putih, Trump memperketat pelbagai kategori visa termasuk visa kerja H-1B untuk tenaga mahir, yang kini dikenakan bayaran tahunan baharu sebanyak AS$100,000 (RM413,438) bagi setiap pemohon.
Visa H-1B yang dikhususkan untuk pekerjaan berkemahiran tinggi sebelum ini hanya mengenakan yuran pentadbiran sekitar AS$1,500 (RM7,185).
Program itu dikritik kerana dikatakan menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan, namun disokong oleh jutawan industri teknologi termasuk Elon Musk kerana dianggap penting untuk menarik bakat global.



