KUALA LUMPUR – Kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ships atau LCS) 1 akan menjalankan proses fasa ujian laut tidak lama lagi sebelum kapal LCS pertama itu boleh ditauliahkan ke dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Lumat Naval Shipyard (LUNAS) memaklumkan, LCS 1 telah berjaya menyelesaikan proses meluncur dan inu menandakan pencapaian penting dalam perjalanannya ke arah mencapai kesempurnaan fizikal kapal.
“Fasa kritikal ini memastikan bahawa semua sistem atas kapal, komponen struktur dan fungsi penting menjalani pemeriksaan dan penambahbaikan yang teliti untuk memenuhi piawaian pembinaan dan pematuhan dengan spesifikasi reka bentuk, membawa kapal selangkah lebih dekat ke fasa seterusnya aktiviti set-to-work dan akhirnya ujian.
“Di LUNAS, kami kekal komited untuk menyampaikan kecemerlangan dalam mengukuhkan keselamatan negara melalui inovasi pada setiap peringkat proses ini.
“Terima kasih yang tulus kepada semua ahli pasukan yang dedikasinya sangat penting dalam mencapai pencapaian kritikal ini, terutamanya dalam mempertahankan kedaulatan negara kita,” kata LUNAS dalam kenyataan medianya pada Khamis.
Pada fasa ujian pelabuhan dan laut itu akan menyaksikan kapal LCS pertama negara milik TLDM itu dipasang dengan sistem serta peralatan seterusnya dan menjalani pelbagai ujian penerimaan sebelum ia ditauliah ke dalam perkhidmatan TLDM.
Kapal pertama LCS negara itu dijangka akan hanya ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada akhir 2026 dan lapan bulan selepas itu kapal kedua LCS negara akan memasuki perkhidmatan dan seterusnya sehinggalah kapal LCS yang kelima.