Petanda Baik Ekonomi Kita – Azmin

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Pelabur asing yakin dengan iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan Malaysia yang stabil dan kondusif serta dizahirkan melalui lonjakan sehingga 223.1 peratus tahun ke tahun bagi pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan bagi separuh pertama tahun ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prestasi kukuh dan mengagumkan itu petanda baik kepada laluan Malaysia ke arah pemulihan ekonomi yang rancak dan mampan.

“Prestasi luar biasa ini turut memaparkan bahawa strategi Malaysia menempatkan negara sebagai destinasi pelaburan menarik dan hab rantaian bekalan di Asean, khususnya bagi operasi pembuatan, menunjukkan hasil positif,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dalam tempoh ini, FDI memacu prestasi kukuh dan bertenaga sektor pembuatan, mencatatkan RM58.2 bilion pelaburan diluluskan. Sementara itu, sumber domestik menyumbang lebihan pelaburan diluluskan dalam sektor ini iaitu RM8.7 bilion.

Dari segi jumlah pelaburan diluluskan, Malaysia mencatatkan RM107.5 bilion FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, meraih lonjakan besar berjumlah 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, pelaburan itu tercapai di tengah-tengah landskap ekonomi global amat mencabar, membabitkan 2,111 projek dan dijangka menjana 44,994 peluang pekerjaan di negara ini.

“Dengan memanfaatkan kemajuan positif dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), penambahbaikan keadaan kesihatan awam secara keseluruhan dan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat, Malaysia terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi, disokong keupayaan dan kebolehan kita dalam menyediakan pekerja berkemahiran tinggi dan bersedia menggunakan teknologi maju untuk nilai tambah industri,” katanya.

Seiring Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), beliau berkata, Malaysia melaksanakan lebih banyak projek berintensif modal secara konsisten selain projek yang menyokong agenda pembangunan negara, selaras matlamat Alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Mohamed Azmin berkata, ini dicerminkan peningkatan jumlah projek berintensif modal yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Katanya, selain itu wujud keutamaan untuk mencipta peluang pekerjaan pelbagai kemahiran kepada rakyat.

Dalam hal ini, Mohamed Azmin berkata, 367 projek pembuatan diluluskan yang bernilai RM66.9 bilion dalam separuh pertama tahun ini akan mewujudkan 32,220 peluang pekerjaan membabitkan pelbagai jawatan, sekali gus memacu laluan ke arah pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran.

“Ini merangkumi 1,367 jawatan dalam pengurusan dan 4,031 bagi profesional teknikal seperti jurutera dalam bidang elektrik dan elektronik, mekanikal, kimia dan bidang lain, mencerminkan peralihan rantaian nilai lebih tinggi dalam sektor pembuatan.

“Projek pembuatan diluluskan turut memerlukan 4,144 pekerja mahir,” katanya.

– Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat