MoU Kestabilan Politik Termeterai Kerana Sikap Positif Ismail Sabri, Kata Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik menjadi kenyataan disebabkan sikap positif Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil pendekatan berunding segera dengan pihak pembangkang sebaik dilantik Perdana Menteri kesembilan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia berbeza dengan tawaran yang dibuat oleh bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang tidak mempunyai rundingan dengan Pakatan Harapan (PH).

“Apa yang dilakukan oleh Bera (Ismail Sabri) berbeza. Dia menang walaupun majoriti sangat kecil tetapi sekurang-kurangnya dia terus ambil pendekatan panggil kita (pembangkang),” katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menjelaskan apa yang dikemukakan Muhyiddin berbentuk perjanjian kepercayaan dan bekalan (CSA) yang menuntut pembangkang menyokong dan mengabsahkan kerajaan.

Bagaimanapun, Memorandum Transformasi dan Kestabilan Politik kepimpinan Ismail Sabri pula jelas menegaskan persefahaman pihak pembangkang untuk menolak jika tiada rundingan.

Anwar menjawab celahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang bertanya mengapa tawaran Muhyiddin sebelum ini ditolak oleh pihak pembangkang.

Semalam, kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang mengandungi enam agenda.

Ia merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Sementara itu, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) dalam perbahasannya menyifatkan MoU itu sebagai persefahaman yang bermakna kerana ia mampu membina masa depan negara yang lebih gemilang.

Presiden Parti Amanah yang turut menandatangani MoU pula berkata pendekatan politik itu dibuat bagi rakyat dengan mengorbankan kepentingan parti sekali gus membentuk satu kerjasama dwipartisan.

“Rakyat semakin meluat dengan ahli-ahli politik kerana masalah seperti COVID-19 dan ekonomi lebih besar tetapi tumpuan diberikan kepada soal pembentukan kerajaan dan pertukaran kerajaan. Justeru MoU yang ditandatangani sangat bererti,” katanya.

Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) menyifatkan pemeteraian MoU itu bertepatan dengan semangat Keluarga Malaysia yang digagaskan Ismail Sabri.

Beliau berkata ia adalah simbolik kesedaran Ahli Parlimen sebagai sebuah Keluarga Malaysia untuk bekerjasama dalam usaha menyelesaikan masalah dan memulihkan keadaan negara walaupun berlainan pandangan politik.

Bagi Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) pula, MoU itu menunjukkan komitmen kerajaan dan pembangkang dalam mengharmonikan kebersamaan sekali gus melakar sejarah baharu negara.

Seramai tujuh Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan perbahasan Titah Diraja hari ini yang dijadual sehingga Selasa.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat