Mangsa COVID-19 puji tema #KITABERSAMA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Aliff Iskandar memuji tema #KITABERSAMA Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang disifatkan bersesuaian untuk beri kesedaran berterusan kepada rakyat Malaysia dalam memerangi pandemik COVID-19.

Sebagai mangsa COVID-19, Aliff yang berjaya membolosi calon awal bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, ABPBH 34 itu berkata, tema #KITABERSAMA mampu mengingatkan masyarakat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Pilihan tema ABPBH 34 sangat sesuai pada saat seluruh negara masih memerangi COVID-19 sejak tahun lalu.

“Mungkin ada di kalangan rakyat Malaysia yang semakin berkurangan kesedaran dan leka disebabkan sudah bosan berkurung di rumah dan mematuhi SOP.

“Usaha BH menerusi ABPBH adalah atas dasar tanggungjawab bersama. ABPBH adalah anugerah berprestij membabitkan ramai artis berpengaruh dalam laman sosial, jadi tema #KITABERSAMA dapat membangkitkan semangat rakyat Malaysia untuk menjaga SOP dan terus melaksanakan langkah pencegahan,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Perit ini pernah berkongsi disahkan positif COVID-19 pada 29 April lalu. Ekoran itu, Aliff menjalani kuarantin selama 12 hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Aliff berkata, dia tidak pernah menyesali ujian Allah, bagaimanapun banyak dipelajari sebagai bekas pesakit COVID-19.

“Jujurnya, COVID-19 bukanlah satu mainan. Saya pengsan sebanyak tiga kali hanya disebabkan jangkitan.

“Jadi, sememangnya pengalaman ini banyak mengajar dan menginsafkan. Saya kini lebih fokus, berhati-hati dalam menjaga SOP supaya orang sekeliling tidak mendapat jangkitan,” katanya.

Berkongsi pencalonannya, Aliff berkata, dia tidak menyangka usaha kecil sebagai penyanyi mampu membolosi pencalonan awal Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 34.

“Ini adalah peluang yang tidak pernah diduga. Jujurnya, saya terkejut dimaklumkan mengenai pencalonan ini. Alhamdulillah, sudah rezeki dan terima kasih kepada BH yang mencalonkan nama saya.

“Terima kasih juga kepada peminat single Perit yang memberikan impak besar dalam kerjaya muzik saya,” katanya.

 

Aliff tidak menyangka usaha kecil sebagai penyanyi mampu membolosi pencalonan awal Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 34. - Foto IG Aliff Iskandar
Aliff tidak menyangka usaha kecil sebagai penyanyi mampu membolosi pencalonan awal Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 34. – Foto IG Aliff Iskandar

Terdahulu, video muzik Perit sudah meraih 1.5 juta tontonan menerusi saluran YouTube sejak dimuat naik pada Oktober lalu.

Mengulas mengenai harapan, penuntut Institut Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur itu tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi.

“Apabila melihat barisan senarai pencalonan, saya tidak meletakkan sebarang impian. Ini kerana ramai calon yang lebih baik.

“Namun, saya hanya berharap dengan pencalonan membantu perjalanan saya sebagai penyanyi dan pemuzik dapat meraih lebih perhatian pendengar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aliff yang juga artis naungan Indigital Music akan tampil dengan single terbaharu berjudul Takdir.

Single itu akan menjadi lagu runut bunyi drama Saat Ku Tak Takluk Cinta Ini, siaran slot Samarinda TV3.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat