‘Calon CEO FINAS sesuai PTD, peka masalah industri’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan menggerakkan kembali industri kreatif ketika era pandemik COVID-19 menjadi pencapaian terbaik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri sepanjang menerajui agensi kerajaan itu.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor berkata, keprihatinan Ahmad Idham bersama Ahli Lembaga termasuk Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid terhadap permasalahan penggiat seni dan usaha merancakkan kembali industri kreatif menerusi pelbagai inisiatif berhasil.

“Saya terkejut mendapat perkhabaran peletakan jawatan Ahmad Idham kerana ia berlaku secara tiba-tiba.

“Sepanjang menjadi CEO FINAS, kita boleh nampak usaha Ahmad Idham menggerakkan FINAS terutama dalam situasi pandemik bagi membantu penggiat seni yang terkesan dengan menyalurkan pelbagai bantuan termasuk mencari jalan penyelesaian agar dapat bekerja semula.

“Hasilnya, ramai penggiat seni termasuk ahli PROFIMA menerima tempias atas hasil usahanya itu.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ahmad Idham dan merakamkan setinggi penghargaan kepadanya serta pasukan FINAS atas kerja keras merancakkan kembali industri seni yang terkesan teruk berikutan penularan wabak COVID-19, sejak tahun lalu,” katanya kepada BH Online.

Mengulas kriteria calon diharapkan bakal menggantikan tempat Ahmad Idham, Khir berpendapat, lebih baik jika calon terdiri daripada Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan bukan kakitangan yang diambil secara kontrak bagi mengelakkan usaha membangunkan industri seni kreatif terbantut.

“Perkara sering berlaku jika jawatan diberikan kepada kakitangan diambil secara kontrak hanya kerana calon mempunyai latar belakang industri, namun tempoh perkhidmatan amat singkat.

“Kadang kala baru sahaja hendak bergerak atau mengusahakan sesuatu projek, kontrak tamat ataupun ditamatkan. Apabila masuk pengurusan baharu, polisi bertukar mengikut misi mereka.

“Kalau ambil PTD menerajui FINAS, perkara seperti ini tidak akan berlaku kerana mereka boleh melaksanakan tugas untuk satu tempoh yang panjang. Sebelum ini, FINAS pernah diterajui individu yang bukan dalam bidang seni, namun masih ada kejayaan dicapai.

“Lagipun, calon berkenaan dikelilingi pegawai berpengalaman boleh membantu. Jika nak beri pada mereka yang ada pengalaman dalam bidang seni, mungkin jawatan Pengerusi FINAS lebih sesuai,” sarannya.

 

Persatuan seni nampak usaha Ahmad Idham menggerakkan FINAS dengan menyalurkan pelbagai bantuan termasuk mencari jalan penyelesaian agar penggiat seni dapat bekerja semula. - Foto NSTP
Persatuan seni nampak usaha Ahmad Idham menggerakkan FINAS dengan menyalurkan pelbagai bantuan termasuk mencari jalan penyelesaian agar penggiat seni dapat bekerja semula. – Foto NSTP

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli mengharapkan sesiapa sahaja yang bakal menduduki kerusi terpenting FINAS, keutamaan harus diberikan kepada individu yang peka dengan masalah industri kreatif.

“Calon mestilah individu yang mesra dan faham masalah industri kreatif. Penggiat seni juga mahu melihat ke manakah hala tuju industri yang ingin dibawa.

“Ibarat nakhoda kapal, kita kena tahu ke manakah destinasi yang ingin dituju, selain pengalaman dan pengetahuan berkenaan industri amat penting kerana sentiasa perlukan idea baharu.

“Kriteria lain yang perlu ada pada seorang ketua adalah rangkaian hubungan dengan penggiat seni antarabangsa kerana pendedahan ini sangat penting,” katanya.

Sebagai rakan seperjuangan, Jurey mengucapkan terima kasih atas jasa dan bakti yang dicurahkan sepanjang menerajui FINAS dan mengharapkan Ahmad Idham akan terus berjaya dalam dunia baharu yang diceburi.

Semalam BH melaporkan Zakaria mengesahkan, Ahmad Idham sudah menyatakan hasrat meletak jawatan dalam mesyuarat Ahli Lembaga FINAS pada Khamis lalu.

Zakaria mengulas khabar angin mengenai Ahmad Idham akan beralih ke kementerian lain menerusi ruangan Desas Desus dalam sisipan B*POP, BH, semalam.

Desas-desus bertiup kencang mengatakan Ahmad Idham akan menyandang jawatan penting di sebuah kementerian bertaraf diplomat.

Difahamkan, tugasan baharu Ahmad Idham masih berkaitan dunia seni, kreatif dan budaya. Namun, tugasan lebih mencabar apabila membawa budaya, muzik dan filem ke mata dunia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat