KUALA LUMPUR – Umno akan menyampaikan nota bantahan kepada semua kepimpinan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang bercadang mahupun yang telah mengizinkan kemasukan ahli-ahli daripada Umno ke dalam parti masing-masing.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menegaskan, protes berkenaan merupakan amaran keras, jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti-parti gabungan.
“Umno membantah tindakan parti-parti gabungan yang menerima ahli Umno, dengan amaran keras agar perkara ini tidak menjejaskan keharmonian Kerajaan Perpaduan.
“Dengan kesatuan hati dan semangat perjuangan yang utuh, Umno akan terus mara mempertahankan agama, bangsa dan tanah air. Insya-Allah,” kata MKT menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan Setiausaha Agung Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki selepas mesyuarat malam tadi.
Kenyataan ini merujuk tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan permohonan beliau untuk menyertai parti PKR sudah diterima.
Tengku Zafrul berkata beliau kini adalah ahli PKR bagi Cabang Ampang.
Pada 30 Mei lalu, beliau mengumumkan peletakan jawatannya dalam Umno dan menyatakan niat untuk menyertai PKR.
Tengku Zafrul, menerusi surat dihantar kepada pimpinan Umno, memaklumkan hasrat untuk meletak jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Umno.



