Umno akan guna semua saluran dapatkan pembelaan buat Najib

KUALA LUMPUR – Umno beriltizam untuk menggunakan semua saluran yang ada bagi mendapatkan pembelaan buat Datuk Seri Najib Razak.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bersidang semalam bersyukur ke hadrat Allah dan menyambut baik keputusan sebulat suara ketiga-tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Addendum agar disegerakan pendengarannya di Mahkamah Tinggi.

“Keputusan ini memberikan kelegaan terhadap usaha-usaha untuk mendapatkan keadilan buat Najib dan akan terus beriltizam untuk menggunakan semua saluran yang ada untuk mendapatkan pembelaan buat beliau.

“Umno menyambut baik keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan untuk mempercepatkan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Addendum, serta beriltizam meneruskan usaha pembelaan melalui saluran undang-undang,” kata MKT menerusi kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Perkembangan lain, Umno amat dukacita dan cukup terhiris dengan tragedi kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

“Pengendalian kes ini yang dilihat amat lemah bahkan tidak mematuhi prosedur dan SOP biasa sebagaimana perakuan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) amat mengecewakan.

“Umno menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara untuk inkues penuh dijalankan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.

“Moga-moga proses inkues ini kelak akan dikendalikan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang bagi mendapatkan keadilan tuntas buat Arwah Zara Qairina,” kata Umno.

Selain itu, Umno memandang serius kesalahan berulang dalam isu pemasangan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang yang merupakan maruah dan lambang kedaulatan negara.

“Tindakan tegas dan keras termasuk pendakwaan mesti dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini tanpa mengira apa jua alasan sebagaimana peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat