KUALA LUMPUR – Tindakan saman pemula Waytha Moorthy terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya “game” politik untuk menimbulkan suasana dan persepsi tidak stabil.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi menganggap tindakan tiga tokoh undang-undang iaitu Waytha Moorthy, Rafique Rashid dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan bukan atas alasan perundangan yang kukuh.
“Saya mengikuti sidang media yang melibatkan tiga tokoh perundangan iaitu Waytha Moorthy, Rafique Rashid dan Takiyuddin Hassan. Mereka mendakwa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 tidak sah dan batal.
“Alasannya, Anwar adalah bekas banduan. Dia hilang kelayakan menjadi ahli parlimen kerana disabit bersalah dan dihukum penjara yang melebihi satu tahun (Perkara 48(1e).
“Justeru menurut mereka, Anwar tidak layak dilantik sebagai Perdana Menteri kerana kemenangannya di Parlimen Tambun tidak sah,” kata Puad.
Persoalannya ujar Speaker DUN Johor itu lagi, kenapa diungkit PRU Parlimen Tambun 2022 sahaja.
“Masa PH 1.0 memerintah tidak pula mereka bersuara apabila Anwar bertanding di PRK Port Dickson (Oktober 2018)?
“Ketika itu penjelasan Peguam Negara ialah Anwar boleh bertanding di Port Dikcson kerana diberi pengampunan penuh (dianggap orang yang tidak melakukan apa apa kesalahan).
“Justeru tindakan saman pemula oleh Waytha Moorthy bukan atas alasan perundangan yang kukuh. Ia hanya “game” politik untuk menimbulkan suasana dan persepsi tidak stabil .
“Semuanya bermotif politik. Sebab itu Takiyuddin boleh duduk di sebelah Waytha Moorthy. Lahirlah kerjasama baru PasDRAF (Pas-HINDARF),” dakwa Puad.



