MP Ranau kecewa dakwa Persekutuan anggap Sabah tak penting, rayu hutang RM2 bilion dilupus

KUALA LUMPUR – “Saya minta hormatilah Sabah, jangan anggap kami tidak penting,”.

Itu keluhan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) yang kecewa kerana mendakwa sehingga kini kepentingan dan hak Sabah tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Katanya, Sabah ketika ini kehilangan banyak perkara dengan seakan tiada usaha daripada Kerajaan Persekutuan untuk membantu pembangunan negeri itu.

“Sabah hilang banyak perkara, daripada Jabatan Imigresen, Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Perangkaan, sebahagian fungsi Jabatan Perikanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Perpaduan Sabah bahkan Lembaga Letrik Sabah (LLS).

“Ada tawaran untuk ambil alih LLS (yang kini dijenamakan semula sebagai Sabah Electricity Sdn Bhd atau SESB), tetapi manalah kita ada RM2 bilion untuk ambil alih, jumlah ini tak sanggup dilupuskan oleh Kerajaan Persekutuan sedangkan RM8 bilion dilupuskan untuk FELDA,” katanya pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat, lapor BH pada Khamis.

Beliau berkata, perkara itu pernah disuarakan dalam Dewan sebelum ini, namun sia-sia.

“Tolonglah lupuskan RM2 bilion itu supaya kita dapat ambil alih SESB untuk kebajikan… FELDA boleh bantu tetapi untuk Sabah? Saya mahu jawapan daripada kerajaan mengenainya,” katanya.

Sementara itu, Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) dalam perbahasannya mencadangkan supaya isu jurang pembangunan yang terus melebar terutama di kawasan pedalaman Sarawak dinoktahkan melalui penubuhan satu badan khusus bagi memantau, mengawal selia dan membangunkan infrastruktur benar-benar diperlukan rakyat.

“Saya percaya badan ini boleh diguna pakai untuk memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti jalan, bekalan air dan elektrik… ini adalah masalah yang berlarutan sejak sekian lama.

“Masalah ini disebut berkali-kali dalam Dewan ini, seolah-olah memang tidak ada penyelesaian.

“Ya, memang ada peningkatan (pembangunan) di kawasan luar bandar tetapi hakikatnya kita tidak dapat menafikan jurang ini masih wujud,” katanya lapor akhbar itu.

Memberi contoh, katanya, dari segi jalan raya, terdapat 4,000 kilometer jalan yang perlu dibaiki atau pembinaan baharu.

“Saya yakin kerajaan melalui konsep Madani akan memastikan supaya jalan balak bukan sahaja di Baram tapi di kawasan Hulu Rajang dan kawasan lain diambil alih dan diberi peruntukan tahunan supaya dapat dibaiki dan diselenggara.

“Ini penting bukan saja kepada rakyat, bahkan pegawai kerajaan juga menggunakan jalan ini, jadi ini untuk keselamatan semua, di samping semestinya (penyelenggaraan) penting bagi menggerakkan lagi ekonomi setempat di kawasan terbabit,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat