KUALA LUMPUR – Polis sudah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan kes anak lelaki Datuk Seri Rafizi Ramli diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata individu berkenaan termasuk Rafizi dan isterinya.
“Setakat ini, enam rakaman percakapan saksi telah diambil membabitkan pengadu yang membuat laporan, termasuk Rafizi dan isteri, serta beberapa individu lain yang berkaitan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, lapor BH di Shah Alam.
Pada masa sama, beliau berkata, Rafizi diminta membuat laporan polis berhubung dakwaan mesej berbaur ugutan diterima oleh isterinya yang berbunyi ‘diam, jika teruskan, AIDS’ pada jam 1.45 tengah hari yang turut disertakan emoji picagari.
“Hingga kini, belum ada lagi laporan (berhubung mesej terbabit) dibuat. Kita berharap pihak Rafizi boleh membuat laporan mengenainya untuk polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Shazeli turut memaklumkan setakat ini, pihaknya masih mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai menunggang sebuah motosikal berdasarkan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Alhamdulillah, siasatan awal melalui CCTV ada memberi sinar dan bantuan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan. Ada banyak CCTV di lokasi berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek melindungi identiti sepenuhnya dengan bertopi keledar dan berpakaian gelap. Jadi, tidak dapat ditentukan identiti dan belum dapat ditentukan suspek melarikan diri ke arah mana. Ia masih dalam siasatan,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi dilapor mendedahkan anaknya berusia 12 tahun diheret sebelum dicucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba oleh seorang lelaki ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya bersama ibunya, semalam.
Beliau dipetik berkata, insiden berlaku ketika anak dan isterinya sedang memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu.



