PH DUN Sungai Kandis Buat Laporan Polis Isu Kiraan Undi Meragukan

- Advertisement -

SHAH ALAM – Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis tampil membuat laporan polis berkaitan isu kiraan undi yang didakwa meragukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelmarin.

Laporan itu dibuat Shaari Abdul Malik iaitu wakil calon, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, kira-kira pukul 3.56 petang tadi.

Shaari berkata, beliau dan jentera mendapati berlaku keraguan di pusat-pusat mengundi di DUN tersebut termasuk melibatkan 1,964 undi yang tidak dikembalikan.

“Biarpun kita (kerusi) kalah dengan hanya 167 undi, perkara itu dianggap keraguan besar kerana semua undi yang dinyatakan tidak dimasukkan dalam peti undi.

“Kita ada membuat bantahan, namun kurang dilayan dan perlu membuat laporan polis serta petisyen bagi tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan IPD itu.

Pertembungan tiga penjuru kerusi itu dimenangi calon Perikatan Nasional (PN), Wan Dzahanurin Ahmad dengan majoriti 167 undi selepas memperoleh 28,926 undi menewaskan Mohd. Zawawi (28,759 undi) dan Afriena Shaqira Sariff dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) (1,341 undi).

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya DUN itu, Syaril Showkat Ali berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan mengharapkan siasatan dilakukan.

“Kami juga sudah mendapatkan nasihat pengamal undang-undang bagi membuat laporan polis mengenai isu tersebut.

“Insya-Allah selepas ini kami akan membuat tindakan susulan dengan petisyen di mahkamah,” katanya.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2018, Mohd. Zawawi menang di DUN berkenaan dengan majoriti 5,842 undi selepas menewaskan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat