‘Berniaga sebab nak bagi keluarga makan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Saya berniaga sebab hendak bagi keluarga makan.”

Itu penjelasan pelawak yang mencipta populariti bersama kumpulan Senario, Azlee, 54, ketika mengulas foto memaparkan dirinya menjual buah-buahan yang tular, baru-baru ini.

Mengaku terkesan dengan impak penularan pandemik COVID-19, Azlee atau nama penuh, Azlee Jaafar mula menjual buah-buahan dan hasil tangkapan laut seperti ikan, ketam, kupang, kerang, lala dan siput sedut di tapak niaga di Saujana Utama, Sungai Buloh, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Azlee berkata, dia perlu berusaha mencari pendapatan berikutan penutupan industri kreatif selain faktor tabungan yang makin menipis.

“PKP 3.0 kali ini agak terkesan untuk anak seni seperti saya. Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) belum memberi kebenaran untuk menjalani penggambaran sepenuhnya.

“Sekarang, sudah beberapa bulan (PKP 3.0 dilaksanakan), duit simpanan pun mula kehabisan.

“Jadi, saya buat keputusan berniaga kerana perlu beri keluarga makan. Kalau pinjaman rumah dan kereta, kita boleh mengharapkan moratorium. Namun, soal bil air, elektrik dan makanan, kita perlu ada wang.

 

Azlee mengusahakan perniagaan buah-buahan dan hasil tangkapan laut di Saujana Utama, Sungai Buloh sejak PKP 3.0. Foto Ihsan Azlee Senario
Azlee mengusahakan perniagaan buah-buahan dan hasil tangkapan laut di Saujana Utama, Sungai Buloh sejak PKP 3.0. Foto Ihsan Azlee Senario

 

“Disebabkan itu, saya fikir, mengapa tidak buat sesuatu yang pernah dilakukan. Arwah ibu saya juga peniaga, jadi, saya ada serba sedikit ilmu dalam bidang ini,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, tular foto memaparkan Azlee berniaga hingga menarik perhatian peminat terhadap pelawak ‘otai’ itu.

Azlee menolak perasaan malu untuk berniaga atas tanggapan konon dirinya selebriti dan dikenali ramai.

“Alhamdulillah, selagi ada keupayaan cari rezeki, buat apa hendak malu berniaga. Tolak tepi status kita sebagai artis, apa yang penting, perlu berusaha cari rezeki untuk menyara keluarga,” katanya.

Azlee berkata, sebelum bergelar artis dan bekerja dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), dia banyak membantu arwah ibu mengendalikan restoran dan menjadi penjual daging di pasar.

Mula berniaga jam 8.30 pagi, Azlee bersyukur gara-gara fotonya yang tular, ramai kenalan dan peminat datang membeli buah-buahan dan hasil tangkapan laut yang dijual.

“Alhamdulillah, selepas tular, ramai yang datang membeli jualan… Saya sangat bersyukur apabila banyak yang membantu. Terima kasih kepada orang ramai yang prihatin,” katanya.

Lebih memberi kesan, Azlee berkata, dia mendapat maklum balas usahanya itu memberi inspirasi kepada golongan yang terjejas dengan impak pandemik COVID-19.

“Ramai beritahu saya beri inspirasi selepas terkesan dengan pandemik COVID-19. Jadi, apabila ada ruang dan peluang, mereka boleh berniaga seperti saya.

“Secara tidak langsung, dapat menjana pendapatan keluarga masing-masing kerana kita tidak tahu, bila pandemik ini akan berakhir.

“Kita tidak tahu, bila kita boleh bekerja seperti biasa. Jadi, sementara belum boleh bekerja, kita kena cari sumber pendapatan yang boleh menyara keluarga.

“Hendak bergantung harap kepada orang lain tidak boleh, kita sendiri kena berusaha,” katanya.

Azlee turut menasihatkan rakan artis dan penggiat seni tabah menghadapi impak penularan pandemik COVID-19 dan menyarankan mereka berniaga sebagai sumber menjana pendapatan.

“Saya dilantik ikon kepada badan bukan kerajaan (NGO), Dana Kita yang membantu artis dan penggiat seni yang terkesan.

“Buat masa ini, tolak dahulu rasa popular atau tidak, sebaliknya, keluar cari rezeki. Kalau kita duduk rumah, siapa mahu bagi kita duit?

“Malah, duduk rumah, duit lebih banyak keluar. Lama-lama, simpanan pun habis. Alhamdulillah, saya tengok, ramai artis sudah berniaga. Kita dapat dekati peminat, bertanya khabar dan sebagainya.

“Jadi, kenapa malu? Selain berusaha, kita berdoa mudah-mudahan Allah angkat COVID-19 dan kita boleh bekerja semula,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya seni, Azlee sempat menjayakan pembikinan filem arahan Datuk Prof A Razak Mohaideen, Rumah Maduku Berhantu, sebelum PKP 3.0 dilaksanakan.

Selain itu, Azlee bersama kumpulan Senario merancang mementaskan konsert, filem dan Akademi Senario. Sepatutnya, Konsert Senario 25 Tahun dianjurkan, November depan, namun, berikutan situasi semasa, projek itu perlu diteliti semula.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat