Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik antara institusi Pendidikan danLatihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan industri pembinaan negara, Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) telah mengadakan kunjungan hormat ke ibu pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dekat sini pada Khamis.
Delegasi PSAS diketuai oleh Pengarahnya, Hj. Razali Johari, bersama barisan pengurusan institusi dan urus setia Majlis Konvokesyen PolyCC Zon Tengah 2026.
Kunjungan ini merupakan susulankepada penerimaan jemputan oleh Ketua Eksekutif CIDB, Sr. Ahmad Farrin Mokhtar untuk hadir sebagai Penyampai Sijil Graduan sempena Majlis Konvokesyen PolyCC Zon Tengah 2026 bagi Sidang Politeknik Sultan Azlan Shah yang dijadualkan berlangsung di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) , Ipoh pada 27 September ini.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkanpenyelarasan protokol dan pelaksanaan majlis konvokesyen selain meneroka peluang kerjasama strategik yang mampu memperkukuhkan ekosistem TVET negara, khususnya dalam bidang pembinaan, teknologi dan pembangunan modal insan.
PSAS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Eksekutif CIDB, Sr. Ahmad Farrin Mokhtar, atas kesudian menerima jemputan tersebut.
Kehadiran beliau sebagai penyampai sijil graduan mencerminkan komitmen erat antara CIDB dan institusi TVET dalam melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri pembinaan negara.
Lebih membanggakan, pihak CIDB turut menyatakan hasrat untuk mengadakan lawatan balas ke PSAS bagi meninjau fasiliti serta kepakaran institusi, khususnya dalam bidang mekatronik dan pembangunan kompetensi teknikal.
Inisiatif ini dijangka membuka lebih banyak ruang kolaborasi melibatkan latihan profesional, pensijilan industri, pembangunan bakat serta penyelidikan dan inovasi TVET.
Dalam perkembangan sama, Razali berkata, kerjasama erat bersama CIDB bukan sahaja memperkukuhkan jaringan industri, malah menjadi platform penting dalam memastikan graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) terus relevan, berdaya saing dan bersedia memenuhi kehendak Revolusi Industri 4.0 serta aspirasi Malaysia MADANI.
Kunjungan hormat ini membuktikan komitmen berterusan PSAS dalam memperluas kerjasama bersama rakan strategik industri demi memperkasakan pendidikan TVET sebagai pemacu pembangunan ekonomi negara dan penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.-SUARA.TV


