Selangor tiada kuasa tutup kilang, cuma MKN boleh keluarkan arahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Lesen pengoperasian kilang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah tertakluk kepada Akta 171, sekali gus mengehadkan bidang kuasa kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, Akta 171 khususnya Seksyen 107(2) adalah untuk menutup kilang dengan membatalkan lesen yang dikeluarkan oleh PBT.

Ia tidak membabitkan hal ehwal kesihatan berkaitan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dengan undang-undang berkenaan dikuatkuasakan oleh kerajaan persekutuan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Seksyen ini dirujuk; ‘Tiap-tiap lesen atau permit yang diberi tertakluk kepada apa-apa syarat dan sekatan yang difikirkan patut oleh pihak berkuasa tempatan dan boleh dibatalkan oleh pihak berkuasa tempatan pada bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab’.

“Walaupun seksyen yang dirujuk seakan-akan memberi kuasa mutlak kepada PBT untuk membatalkan lesen, tindakan pembatalan harus dilakukan mengikut syarat serta parameter yang tertera dalam lesen pada waktu ia dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sze Han berkata, sejak 18 Mac tahun lalu, penentuan prosedur operasi standard (SOP) dikuatkuasakan melalui Akta 342 termasuk perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di Selangor.

“Akta 342 memberi kuasa kepada menteri persekutuan melalui Seksyen 3(1) untuk melantik pegawai kesihatan ataupun mana-mana pegawai lain bagi tujuan menguatkuasakan usaha mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya.

Tambahnya, pindaan berkenaan bukan bermaksud PBT mempunyai kuasa untuk menutup kilang sebaliknya membolehkan Pegawai Kesihatan Persekitaran di PBT membantu menguatkuasakan SOP dan arahan kerajaan persekutuan.

“Kuasa itu masih di bawah kerajaan persekutuan. Setakat ini salah satu usaha penutupan kilang dan pematuhan SOP dilaksanakan di bawah Op Patuh.

“Operasi itu dilaksanakan oleh suatu Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri dan PBT Selangor hanyalah salah satu anggota jawatankuasa,” katanya.

Justeru katanya, perkara berkaitan operasi sektor pengilangan bagi tujuan pengawalan Covid-19 adalah tertakluk kepada Akta 342 dan apa-apa pengendalian piawai PKP/PKPB/PKPD ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat