Finas perhalusi lesen operasi pawagam pandu masuk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan meneliti dan memperhalusi Lesen Pemameran Filem (EF) bagi sektor pawagam pandu masuk seiring pengamalan normal baharu susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi menjaga keselamatan kandungan filem yang bakal ditayangkan agar tidak menjadi ‘mangsa’ cetak rompak.

“Pawagam pandu masuk adalah di bawah sektor pemameran, mungkin ia wujud disebabkan normal baharu sekali gus menjadi satu trend. Faktor keselamatan adalah kriteria penting yang dititikberatkan kerana kita kena jaga sektor pengeluaran.

“Untuk itu, kita mungkin akan menggubal atau melakukan beberapa penambahbaikan terhadap lesen berkenaan untuk disesuaikan dengan jenis tayangan sebegini. Namun, sehingga hari ini, kita masih belum ada keputusan muktamad,” katanya pada Bernama.

Pada 9 Julai lepas, kerajaan bersetuju membenarkan permohonan aktiviti pawagam pandu masuk tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya pengunjung mesti berada di dalam kenderaan masing-masing, penjualan makanan dibuat secara dalam talian dan mengambil makanan secara pandu lalu.

Untuk itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperincikan SOP berkaitan aktiviti ini bagi rujukan semua operator yang terlibat.

Menurut Ahmad Idham, pengawalan seperti itu perlu dibuat supaya ia tidak bercanggah dengan agenda Finas untuk memperkasakan industri perfileman di Malaysia.

Mengulas lanjut katanya, terdapat dua senario bagi pemameran pawagam pandu masuk dalam menayangkan sesebuah filem.

“Sama ada ia akan menjadi platform penayangan filem terkini seiring dengan pawagam sedia ada atau ia boleh menjadi platform yang hanya menayangkan filem lama serta sekadar program ‘merakyatkan’ filem bagi mempromosikan filem bertema,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan konsep pawagam pandu masuk ini sebagai sesuatu yang menarik sekali gus mewujudkan platform hiburan yang lebih santai dan selamat untuk seisi keluarga.

“Cuma, mungkin ia sedikit mencabar kerana negara kita beriklim Khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun, itu akan menjadi kesukaran dalam memilih lokasi yang bersesuaian,” katanya.

Seorang operator pawagam pandu masuk, Johnson Lourdes dari Johnson Media Resources berkata, pihaknya bersedia memberi perkhidmatan tersebut buat kaki wayang mulai Ogos depan.

Bakal menayangkan pelbagai filem tempatan dan antarabangsa, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi pawagam berkenaan dengan lebih lanjut.

“Setakat ini, kita sudah mengenal pasti beberapa lokasi. Kita sasarkan untuk membawa 250 kereta sekali masuk untuk setiap kali tayangan filem.

“Untuk maklumat lanjut, kami akan mengumumkannya di Facebook kami, JMR Outdoormovies Services, tidak lama lagi,” katanya sambil memberitahu ia akan beroperasi pada setiap malam hujung minggu.

Johnson Media Resources merupakan syarikat pembekal peralatan pemameran filem sejak 2010 turut berpengalaman dalam menganjurkan tayangan filem luar sebelum ini.

Bahkan, Johnson juga optimis pawagam pandu masuk ini akan berjaya seterusnya memberikan pengalaman sinematik yang unik sambil mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kita yakin ia akan dapat sambutan yang memberangsangkan daripada penonton. Sekarang ia adalah trend satu dunia apabila orang lebih menggemari pawagam luar sambil memandu dalam kemudahan tayangan,” katanya.

Positif dengan perkembangan baharu terbabit, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha atau nama sebenarnya Panchacharam P Nalliah, menyifatkan kewujudan pawagam pandu masuk ini relevan dengan situasi semasa selain memberi kepelbagaian pilihan kepada penonton.

“Ia adalah satu peluang baharu dan biasanya apa-apa yang baharu akan buat kita lebih teruja. Kita harap ia boleh berjaya seterusnya menyokong industri perfileman di negara ini,” katanya.

Seorang kaki wayang yang juga pelawak terkenal tanah air, Harith Iskander pula beranggapan pawagam pandu masuk akan memberi satu pengalaman baharu yang sangat mengujakan.

“Ini adalah satu perkembangan yang bagus dan platform baharu dalam perniagaan pawagam. Apa yang penting, penonton mahu merasai dan menikmati sendiri pengalaman tersebut. Ia adalah sesuatu yang sangat berharga,” katanya. –

Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat