Stacy, Akim bertekak demi hasil karya terbaik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ibarat melodi dan lagu yang tidak boleh dipisahkan, begitulah kisah cinta pasangan penyanyi popular, Akim Ahmad dan Stacy Anam.

Muzik memperkenalkan Akim dan Stacy, kerana muzik jugalah menyatukan cinta mereka hingga ke jenjang pelamin.

Empat tahun melayari bahtera rumah tangga, cinta dan muzik kian melengkapi dan berseri dengan kehadiran dua cahaya mata permata hati, Bella De Luna Valentina, 8, dan Eshaal, 3.

Menceburi bidang sama memberikan kelebihan menjadikan cinta pasangan romantik itu kian utuh. Saling melengkapi tidak hanya saat mengemudi rumah tangga, malah kesepakatan turut tercapai tatkala bekerja.

“Cinta, kasih dan sayang ini sangat memberi kelebihan kepada kami. Dalam kehidupan peribadi sekali pun, kami banyak berbincang mengenai muzik.

“Muzik adalah kehidupan kami, tidak berlaku saya dalam bidang lain dan Akim pula berbeza arah. Sekiranya suami seorang doktor, pastinya topik yang akan dibualkan berbeza dan saya akan cuba memahami kerjaya pasangan.

“Kerana cinta yang cukup kuat pada muzik, jadi terhasilnya lagu duet Aku, Kau Dan Muzik. Muzik menemukan, menyatukan dan membuatkan kami sentiasa bersama,” kata Stacy kepada BH Online.

Lebih selesa bekerja di sisi suami, namun Stacy berkata, ada ketika, mereka tidak lepas daripada perbalahan dan percanggahan pendapat.

Namun, persengketaan hanya seketika kerana setiap perbezaan pendapat dileraikan secara baik, tanpa keegoan.

“Sudah semestinya lebih mudah bekerja dengan suami, macam mana saling tak berpuas hati dan bertekak, akhirnya kami pasti menemui jalan penyelesaian.

“Bukan bermakna bekerja dengan orang lain tidak menemui kesepakatan, tetapi masa bersama orang luar lebih terhad berbanding suami. Jadi, kami mempunyai banyak masa untuk berbincang.

“Kami terbuka dalam mencari jalan penyelesaian. Biarpun berbeza genre, saya lebih kepada ‘dance’, manakala suami pula ke arah rock tetapi kami sentiasa mencari jalan untuk selesaikan setiap masalah,” katanya.

Penyanyi lagu Not For Sale dan Bosan itu berkata, dia dan suami sentiasa cuba memahami dan menerima perbezaan pendapat.

“Alhamdulillah, kami selesa bekerja bersama. Apabila bekerja, kami akan menjadi diri sendiri dan satu kepala.

“Bagaimanapun, jika menyentuh isu peribadi, kami selalunya bercanggah pendapat, tetapi dalam muzik, kebanyakannya sering ada persamaan dan selari,” kata Stacy.

Kongsi Stacy lagi, cara berkomunikasi sama ada yang membabitkan soal rumah tangga atau kerjaya adalah sama. Jika ada ketidakpuasan hati, pasti ada proses tegur menegur, begitu juga halnya dalam muzik.

“Kami sentiasa bersikap ikhlas dalam meluahkan pendapat. Cara kami menegur tak kira isu berkaitan rumah tangga dan hal kerja sama sahaja. Bagi kami, kejujuran amat penting. Insya-Allah, apabila sentiasa menyokong dan jujur antara satu sama lain, ia lebih baik.

“Mungkin disebabkan dalam bidang yang sama, kami menjadi lebih faham kerjaya masing-masing. Akim bukan baharu dalam industri, begitu juga saya. Jadi, rasa saling percaya sentiasa tersemat. Apa yang penting, kami tahu status dan menjaga batasan.

“Pada masa sama, kami perlulah tahu cara macam mana membawa kerja.

Saya tidak kisah jika ada yang beranggapan kami saling menumpang populariti. Saya lebih terharu apabila ada yang melihat kami seperti jenama.

“Bagi kami, tiada istilah siapa menumpang populariti siapa kerana sebagai suami isteri, kami perlu saling melengkapi,” kata Stacy.

BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat