“Anwar tidak lagi berpura-pura menjadi ‘bapa’ kepada semua rakyat Malaysia – Ramasamy dakwa sokongan Cina, India merosot

KUALA LUMPUR – Dengan kemerosotan sokongan masyarakat Cina dan India, bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy tertanya-tanya atas dasar apa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan kemunculan semula politik untuk penggal kedua sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi Urimai itu berkata, politik “appeasement” (penenangan) Anwar yang memihak kepada masyarakat majoriti nampaknya menjadi halangan terbesar untuk beliau menjadi Perdana Menteri bagi semua kaum di negara ini.

“Saya amat meragui bahawa masyarakat India, setelah mengalami diskriminasi dan peminggiran politik, bersedia untuk menyokong gabungan Anwar.

“Melalui tindakan politik “appeasement” yang melulu, Anwar telah melukakan dan memperlekehkan masyarakat India melebihi apa yang dapat dibayangkan.

“Ramai orang Melayu juga telah meninggalkan Anwar dengan menyokong Perikatan Nasional (PN). PN dilaporkan menguasai sekitar 70 peratus sokongan Melayu,” kata Ramasamy dalam hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Menurut Ramasamy, Anwar mahu meneruskan jawatan sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua negara. Namun, tidak seperti tempoh sebelum beliau menjadi Perdana Menteri pada penghujung tahun 2022, Anwar kini hampir kehilangan relevansi politiknya.

“Beliau sedar bahawa DAP tidak lagi mampu memberikan tahap sokongan yang sama seperti dalam pilihan raya umum 2022 dan pilihan raya negeri 2023.

“Ia akan menjadi satu keajaiban politik jika DAP mampu bangkit semula dengan memperoleh 40 kerusi Parlimen.

“Parti itu telah “dihapuskan” dalam pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini.

“Para pemimpin parti itu, dengan terus menurut kehendak kerajaan, pada asasnya telah mengabaikan hak-hak bukan Melayu.

“DAP gagal sama sekali untuk menangani isu-isu kontroversi seperti penternakan babi di Selangor, pengiktrafan UEC, sifat terlalu diskriminatif sistem matrikulasi, kemasukan bukan Melayu ke dalam perkhidmatan awam, dan yang paling penting, reformasi institusi yang amat diperlukan seperti yang dijanjikan oleh gabungan PH sebelum dua pilihan raya tersebut.

“Apakah menghairankan jika DAP “dihapuskan” di Sabah? Ya, Semenanjung Malaysia bukan Sabah, tetapi isu-isu yang menyebabkan DAP mengalah tidak banyak berbeza,” tegasnya.

Persoalannya kata Ramasamy ialah sama ada DAP akan menjadi liabiliti kepada gabungan yang dipimpin PH.

Menurut beliau, dalam gabungan PH, PKR merupakan parti yang paling berpecah dari segi politik.

“Tindakan Anwar menaikkan anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar, sebagai Timbalan Presiden PKR dengan mengetepikan bekas timbalan presiden Datuk Seri Rafizi Ramli telah mewujudkan perpecahan serius dalam parti dan juga gabungan tersebut.

“Bagaimana Anwar mahu menyatukan semula parti itu masih menjadi tanda tanya.

“Dengan kedua-dua DAP dan PKR berada di landasan kemerosotan, saya tertanya-tanya bagaimana Anwar mahu menghidupkan semula gabungan itu untuk bersaing dalam pilihan raya akan datang.

“Jika Umno atau Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo dalam pilihan raya akan datang, PH boleh melupakan kemungkinan kerjasama dengan BN.

“Krisis politik Negeri Sembilan sudah cukup untuk menunjukkan bahawa hubungan antara PH dan BN tidak berada dalam keadaan baik.

“Walaupun masyarakat Cina masih boleh bergantung kepada perwakilan terhad dalam DAP, masyarakat India pula hampir sepenuhnya diabaikan oleh kerajaan pimpinan PH.

“Selepas pilihan raya negeri 2023, sokongan masyarakat India menurun kepada sekitar 45 peratus. Ia akan menjadi satu keajaiban jika masyarakat India memberikan tahap sokongan yang sama sekali lagi kepada gabungan pimpinan PH,” katanya lagi.

Ramasamy mendakwa lagi, Anwar mempunyai rekod buruk dengan masyarakat India.

Ujarnya, sudah berlalu zaman beliau berpura-pura menjadi penyelamat masyarakat India dengan meniru tindakan bekas pelakon yang menjadi ketua menteri Tamil Nadu, M. G. Ramachandran.

“Anwar tidak lagi berpura-pura menjadi “bapa” kepada semua rakyat Malaysia.

“Sebaliknya, pemindahan paksa sebuah kuil Hindu berusia 130 tahun di Kuala Lumpur telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat Hindu.

“Selepas itu, demi memuaskan hati masyarakat majoriti, beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan merobohkan kuil-kuil Hindu yang dianggap “haram” di negara ini. Kuil-kuil yang telah wujud lebih daripada 100 tahun tiba-tiba dianggap “haram” oleh Anwar.

“Bahagian paling buruk dalam tindakan Anwar terhadap kuil-kuil Hindu ialah sokongan senyap yang diberikan oleh pemimpin India yang bersifat “pak turut” dalam DAP, PKR dan MIC.

“Pemimpin India dari DAP dengan tidak malu turut menghadiri upacara keagamaan di tapak baharu tempat kuil itu akan dipindahkan.

“Isu pemindahan kuil dan arahan merobohkan kuil “haram” inilah yang menyebabkan Anwar tidak lagi disenangi dan dibenci oleh masyarakat Hindu, yang merupakan majoriti masyarakat India di negara ini.

“Anwar sedar bahawa beliau tidak disukai oleh masyarakat India, dan inilah sebabnya beliau memperuntukkan tambahan RM50 juta kepada Malaysian Indian Transformation Unit (Mitra). Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa dana yang diperuntukkan kepada Mitra tidak disalurkan dengan sempurna kepada kumpulan sasaran, khususnya mereka dalam kategori sosioekonomi rendah.

“RM150 juta untuk Mitra hanyalah “kacang”, jauh daripada mencukupi untuk memberi impak besar dalam meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India.

“Pada masa lalu, saya pernah mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat India. Tambahan RM50 juta hanyalah setitik air di lautan.

“Daripada sekadar memberikan peruntukan kewangan, Anwar sepatutnya memberi lebih banyak tempat kepada pelajar India yang layak dalam program matrikulasi daripada terus berpegang secara mekanikal kepada nisbah kemasukan berasaskan etnik yang sedia ada,” bidas Ramasamy lagi.

Kata beliau, Anwar juga sepatutnya meningkatkan pengambilan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam negara.

“Daripada memberikan dana yang jarang sampai kepada anggota masyarakat yang benar-benar memerlukan, beliau sepatutnya menyediakan lebih banyak peluang perniagaan dan perdagangan kepada masyarakat India.

“Sekurang-kurangnya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berfikir di luar kotak untuk meningkatkan kemasukan bukan Melayu ke dalam program matrikulasi,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat