Dunia diminta bersedia hadapi lebih banyak kes hantavirus – WHO

MADRID – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa semua negara supaya bersedia menghadapi lebih banyak kes hantavirus.

Gesaan itu dibuat ketika pihak berkuasa di Paris mengesahkan seorang wanita warga Perancis yang dijangkiti virus tersebut di atas kapal persiaran MV Hondius kini berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus turut menzahirkan penghargaan kepada Sepanyol atas empati dan solidariti yang ditunjukkan dengan menerima kapal persiaran yang terjejas itu.

Beliau menggesa pihak berkuasa untuk mematuhi nasihat dan syor WHO, termasuk pelaksanaan kuarantin selama 42 hari serta pemantauan berterusan terhadap kontak berisiko tinggi.

Dalam sidang media di Madrid, Tedros berkata, walaupun tiada tanda penularan besar-besaran buat masa ini, situasi boleh berubah memandangkan tempoh pengeraman virus yang lama.

Kapal MV Hondius, yang dalam perjalanan dari Argentina ke Cape Verde menjadi pusat wabak selepas tiga penumpang iaitu pasangan dari Belanda dan seorang warga Jerman meninggal dunia akibat virus berkenaan.

Walaupun biasanya disebarkan oleh tikus liar, hantavirus boleh berjangkit daripada manusia ke manusia dalam kes luar biasa yang melibatkan kontak rapat.

Wabak itu mencetuskan kebimbangan global mengenai potensi penyebaran dalam kalangan penumpang yang dipindahkan, serta risiko ia merebak apabila mereka pulang ke negara asal masing-masing.

WHO setakat ini mengesahkan sembilan kes varian Andes bagi virus tersebut, termasuk seorang wanita Perancis dan seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang diuji positif selepas dipindahkan dari kapal tersebut.

Pegawai kesihatan di Paris memaklumkan pesakit warga Perancis berusia 65 tahun itu mengalami kardiopulmonari yang paling teruk. Beliau kini ditempatkan di unit rawatan rapi dan menggunakan paru-paru tiruan serta pintasan darah untuk membantu kelangsungan hidupnya.

Kementerian Kesihatan Sepanyol melaporkan salah seorang daripada 14 warga negaranya yang dikuarantin di hospital tentera di Madrid turut disahkan positif hantavirus dan mula menunjukkan simptom. -AGENSI

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat