KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan Majlis Raja-Raja wajar dirujuk sekiranya kemelut pelantikan kehakiman terus berlarutan.
Menurut beliau, walaupun Majlis Raja-Raja tidak terlibat dalam hal ehwal politik secara langsung namun dalam keadaan sekarang berkemungkinan wajar.
“Raja-Raja tidak terbabit dalam hal politik tetapi apabila sesuatu masalah timbul yang membawa kepada perpecahan politik hingga kita tidak dapat buat apa-apa, sehingga tidak boleh persidangan Dewan (Parlimen), maka kita kena rujuk kepada MRR.
“Ini tidak disebut dalam Perlembagaan tetapi seperti saya kata, jika ada demonstrasi berjuta orang, Perdana Menteri kena berhenti,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sidang Meja Bulat ke-2 anjuran Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman.
Dalam pada itu, Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak akan hadir ke Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman anjuran Majlis Peguam minggu hadapan kerana ia khusus untuk kalangan peguam.
“Perarakan Majlis Peguam saya tidak datang kerana saya bukan peguam. Namun, himpunan yang dianjurkan oleh sekretariat ini pada 26 Julai, saya mungkin hadir kerana ia himpunan rakyat yang terbuka kepada semua,” katanya lapor Utusan.
Beliau menegaskan himpunan tersebut melibatkan rakyat daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira kaum, parti politik, NGO mahupun individu.
Mengulas larangan kerajaan terhadap beberapa bentuk perhimpunan sebelum ini, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak berasaskan prinsip demokrasi.
“Kerajaan tidak sepatutnya menghalang perhimpunan. Sampai nak sambut hari jadi pun tidak dibenarkan. Semua perkara rakyat nak buat tidak boleh, malah pelbagai isu seperti pelantikan hakim, penjualan saham MAHB, juga tidak boleh dibangkitkan, semua dikaitkan dengan isu 3R, sekarang jadi 4R.
“Kita sekarang seperti membisu seribu bahasa, tidak boleh cakap langsung,” katanya.



