KUALA LUMPUR – Armada Bersatu menyatakan pendirian keras terhadap tangkapan terhadap Jorjet Myla yang juga direman selama 3 hari gara-gara memuat naik satu video di TikTok meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri.
Justeru, Ketua Penerangan Armada Harris Idaham Rashid berpendirian bahawa siasatan dibawah Akta Hasutan 1948 juga adalah satu tindakan zalim dan menekan.
Katanya, Armada turut bersolidariti terhadap Jorget Myla yang sedang melalui tahanan reman akibat menyatakan pendapat.
“Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya paling lantang menjuarai kebebasan bersuara tetapi sekarang ini paling ke hadapan dalam menekan suara-suara yang menentang kerajaan.
“Kegilaan memegang kuasa sudah memusnahkan prinsip perjuangan lama.
“Menyatakan pendirian negatif terhadap Perdana Menteri ataupun kerajaan adalah sebahagian daripada demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Tangkapan dan permohonan reman hanya akan melihatkan Malaysia sebagai negara yang tidak toleran terhadap kritikan daripada rakyat,” kata Harris.
Menurut beliau lagi, musim ekonomi gawat secara automatik akan mengundang pendapat-pendapat yang negatif berkenaan pengurusan krisis oleh kerajaan tetapi kebebasan bersuara itu dibenarkan dan pihak kerajaan harus menerimanya.
“Pihak berkuasa tidak boleh diperalatkan untuk membisukan masyarakat,” tegasnya.



