KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menganggap tidak banyak perubahan pun berlaku dalam kepimpinan negara kita dari zaman Tun Dr Mahathir Mohamad hinggalah ke zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Hassan, jika istilah bail out itu dilihat sebagai jahat maka dicari istilah lain seperti pelaburan strategik menurut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Jelas beliau, menurut Cambridge Dictionary perkataan bail out itu bermakna “The process of saving a company, plan, or other thing from failing by providing a lot of money.”
“Ringkasnya dalam Bahasa Melayu kita bail out itu bermakna: “menyelamatkan”
“Kerajaan keluarkan sejumlah wang yang banyak iaitu RM1.1bilion untuk selamatkan Syarikat Sapura Energy.Itu bail out lah namanya,” kata Hassan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bail out adalah perkataan dalam bahasa Inggeris. Tetapi di Malaysia perkataan bail out ini macam difahami benar oleh rakyatnya terutama sewaktu pentadbiran Perdana Menteri Keempat Dr Mahathir Mohamad.
“Istilah bail out ini cukup tidak berkenan di hati rakyat pembayar cukai atau rakyat berpendapatan rendah yang tak bayar cukai.Mereka melihat kerajaan waktu itu membazir wang negara kerana cuba menyelamatkan beberapa syarikat besar melalui cara yang dipanggil bail out.
“Maka berlakulah di zaman Perdana Menteri Dr Mahathir di mana kerajaan cuba bail out Syarikat besi waja (Perwaja), Bank Bumiputera dan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
“Berbilion ringgit kerajaan keluarkan wang negara untuk selamatkan syarikat-syarikat tersebut.Tetapi gagal juga akhirnya.Bail out itu menemui kegagalan,” ujarnya.
Kata Hassan, kerajaan ketika itu berhujah menggunakan landasan semangat kepentingan nasional dan juga sentimen kaum.
“Syarikat Perwaja itu adalah syarikat kepentingan nasional milik kerajaan.Maka ia perlu diselamatkan.Jadi bail out itu penting.Rakyat termakan hujah itu lalu menerimanya.
“Bank Bumiputera adalah sebuah bank berkepentingan orang Melayu hasil dari Kongres Bumiputera yang pertama.Maka bail out itu perlu.Satu-satunya Bank Bumiputera itu mesti diselamatkan.
“Maka semua orang Melayu dan Bumiputera setuju.Manakala orang bukan Melayu dan bukan Bumiputera tidak berani bersuara.Lalu bail put dilaksanakan.Tetapi gagal juga.Bank Bumiputera itu lenyap terkubur akhirnya,” jelas Hassan lagi.
Kemudian katanya, kerajaan Dr Mahathir cuba bail out Syarikat Penerbangan MAS yang telah diswastakan kepada seorang tokoh corporate kroni rapatnya.
“Sekali lagi digunakan alasan kepentingan nasional dan hujah berbaur kaum.MAS Penerbangan nasional negara mesti diselamatkan dengan apa cara jua.
“Malu negara kalau MAS bankrap dan malu orang Melayu jika MAS yang dipunyai oleh tokoh korporat hasil dasar kapitalis kroni Mahathir gagal.Jadi rakyat khususnya orang Melayu termakan gula-gula yang disalut pemanis nationalistic dan cauvanis Melayu.
“Mereka akur dengan kehendak Mahathir. Bail out dilaksanakan.Tetapi gagal juga.Hutang yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk selamatkan MAS gagal dibayar balik oleh syarikat penerbangan itu kepada kerajaan.Lama kelamaan hutang itu dilupuskan sahaja atau dalam bahasa Inggeris disebut write-off.
“Kini kira kira hampir 30 tahun kemudian muncul sekal lagi istilah bail out apabila Syarikat perkhidmatan minyak dan gas Sapura Energy Bhd (SEB) memperoleh pelaburan RM1.1 bilion daripada kerajaan.
“Melalui Menteri Komunikasi Fahami Fadzil sebagai jurucakap kerajaan menyatakan bahawa tindakan kerajaan menyelamatkan Syarikat Sapura Energy itu bukan bail out tetapi satu pelaburan strategik,” katanya.
Ujar Hassan, menurut Fahmi syarat yang dikenakan adalah dana tersebut digunakan khusus untuk menyelesaikan tunggakan bayaran kepada lebih 2,000 vendor Sapura Energy.Menurutnya, 80 peratus vendor Sapura Energy terdiri daripada syarikat Bumiputera.
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mengulangi hujah yang dikemukakan oleh Fahmi. Malah Anwar berhujah jika kerajaan tidak menyelamatkan Sapura Energy maka kerajaan akan dianggap mengkhianati orang-orang Melayu.Malah katanya jika Syarikat Sapura Energy tutup maka Malaysia terpaksa bergantung kepada syarikat-syarikat perkhidmatan asing.
“Maka hujah dan alasan yang diberi oleh pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sama juga dengan hujah dan alasan Dr Mahathir Mohamad dulu iaitu bail out perlu untuk kepentingan nasional negara dan kepentingan orang Melayu,” katanya.