KUALA LUMPUR – Sepanjang tahun lepas sahaja direkodkan lebih 70,000 ekor lembu diseludup di negeri-negeri bersempadan Malaysia-Thailand.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, aktiviti penyeludupan itu dikesan berlaku di negeri Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak sekali gus memberi kesan kepada penternak tempatan.
“Harga daging di pasaran menjadi terlalu murah disebabkan lambakan bekalan akibat aktiviti penyeludupan itu.
“Sekiranya tidak dibanteras segera penternak tempatan, terutamanya di negeri sempadan akan terjejas,” lapor Bernama di Kelantan.
Menurut Mat Sabu, meskipun bekalan daging masih mencukupi, tindakan tegas perlu diambil bagi mengawal penyeludupan yang berleluasa.
Beliau berkata, kawalan sempadan juga perlu diperketat bagi mengelakkan sebarang risiko termasuk penularan penyakit haiwan.
“Pihak berkuasa perlu bertindak lebih tegas kerana usaha ini bukan sahaja melindungi ekonomi penternak tempatan tetapi juga memastikan keselamatan bekalan daging dalam negara,” katanya.