Salah guna logo halal kesalahan serius, berdepan tindakan undang-undang – Menteri Agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar produk ‘Ham and Cheese sandwich’ yang disyaki menyalah guna logo halal bakal berdepan tindakan penguatkuasaan dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu yang membabitkan integriti dan kepentingan awam.

Menurutnya, Jakim sudah diarah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak terbabit.

“Tindakan segelintir pihak yang menyalahgunakan label logo halal pada produk adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa dukacita dengan kejadian yang berlaku di premis jualan runcit 24 jam di Universiti Malaya (UM),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan label logo halal pada mana-mana produk yang dikeluarkan.

Beliau juga meminta semua pihak untuk sentiasa merujuk kepada Jakim dan pihak berkuasa agama Islam negeri dalam isu berkaitan halal.

Terdahulu, JAKIM mengesahkan produk ‘Ham and Cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang sijil berkenaan.

Na’im dilaporkan berkata, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan di media sosial berkenaan produk ‘ham and cheese sandwich’ yang diragui status halal.

Katanya, Jakim sudah melaksanakan pemeriksaan di lapangan bersama KPDN pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood dilapor mengesahkan polis menerima laporan berhubung isu terbabit.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat