Laba di sebalik pandemik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketika banyak entiti perniagaan seantero dunia menerima impak penularan pandemik COVID-19, syarikat pembekal kandungan animasi Bumiputera, Les ‘Copaque Production (LCP) Sdn Bhd terus berkembang dengan lonjakan pendapatan 40 peratus, sejak dua tahun lalu.

Penerbit dan Pengarah Urusan LCP, Burhanuddin Md Radzi berkata, pencapaian memberangsangkan itu memberi impak positif kepada industri animasi tempatan.

“Sepanjang pandemik, kami raih pendapatan lebih tinggi kerana dalam tempoh itu, orang ramai duduk rumah, tidak boleh pergi ke mana-mana.

“Jadi, mereka banyak menonton televisyen (TV) dan saluran YouTube kami,” katanya kepada BH Online ketika ditemui di pejabatnya di Seksyen 13, Shah Alam, baru-baru ini.

Burhanuddin berkata, syarikat mencatat peningkatan pendapatan bagi tahun kewangan 2020 dan 2021 sebanyak 40 peratus dengan Indonesia menjadi penyumbang tertinggi pendapatan syarikat.

Berkongsi mengenai perancangan 2022, biarpun pejabat LCP dinaiki air mencecah satu kaki hingga menjejaskan operasi selain kerosakan peralatan dan dokumen di aras bawah bangunan itu, baru-baru ini, Burhanuddin berkata, pihaknya perlu berhati-hati dalam melancarkan projek baharu.

“Ramai yang bertanya bila Upin dan Ipin hendak keluar filem baharu selepas Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal pada 2019.

“Hendak buat filem animasi bukannya murah. Dengan faktor ekonomi sekarang, saya fikir kita perlu ambil masa lama untuk menghasilkan filem.

“Apatah lagi, pawagam tidak dibuka sepenuhnya. Jadi, untuk mendapat pulangan banyak, sulit,” katanya.

Bagaimanapun, Burhanuddin berkata, kakitangan LCP menjalankan kaji selidik selama dua tahun bagi projek filem baharu.

“Usaha ini lebih kepada proses teknikal. Jadi, pekerja kaji bagaimana hendak hasilkan sesuatu adegan dalam filem animasi secara lebih realistik dan menarik.

“Contohnya, sebelum ini, mereka takut hendak buat visual air, tetapi sekarang, mereka sudah pandai. Sama juga dengan asap, pergerakan pakaian dan sebagainya.

“Boleh dilihat menerusi siri Upin & Ipin akhir-akhir ini, pereka grafik banyak buat kelainan dan penambahbaikan hingga kualiti setanding filem,” katanya.

 

Burhanuddin menyifatkan pencapaian lonjakan keuntungan sebanyak 40 peratus memberi impak positif kepada industri animasi tempatan.
Burhanuddin menyifatkan pencapaian lonjakan keuntungan sebanyak 40 peratus memberi impak positif kepada industri animasi tempatan.

 

Burhanuddin percaya dengan kira-kira 160 pekerja teknikal, syarikat sudah bersedia memulakan produksi filem tanpa mengganggu proses pembikinan siri TV.

“Bagi filem seterusnya, kami merancang membangunkan kisah dongeng, Sang Kancil… Ini mungkin filem pertama yang kami hasilkan selepas pandemik ini.

“Buat masa ini, kami sedang merancang kerana banyak tenaga kerja digunakan,” katanya.

Namun, soal sumber manusia tidak menjadi masalah kerana Akademi Animasi Les ‘Copaque yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu, sudah melahirkan graduan diploma.

Burhanuddin berkata, hampir semua graduan diserap bekerja di LCP.

“Di LCP, semuanya kami hasilkan sendiri termasuk muzik. Kami ada bank pengarah, penulis skrip, komposer dan banyak lagi.

“Jadi, sesiapa yang mahu belajar mengenai produksi animasi, semuanya ada. Saya percaya di Malaysia, ramai yang berbakat dalam bidang animasi.

“Jadi, kami alu-alukan mereka yang mahu belajar di sini. Setiap tahun, kami mengeluarkan 10 biasiswa untuk pelajar akademi,” katanya.

Melihat satu demi satu kejayaan diraih LCP terutama di Indonesia, Burhanuddin tidak menafikan jenama Upin & Upin semakin teguh di republik itu.

Baginya, kekuatan karakter Upin & Ipin terletak kepada kandungan yang dekat dengan kehidupan ramai.

“Kami buat cerita harian dan kisah rakyat di mana semua orang boleh kait dengan kehidupan mereka. Di Indonesia, mereka yang menonton, bukanlah anak-anak sahaja, malah, seluruh keluarga.

“Siapa sahaja yang saya jumpa di Indonesia, pasti bercerita mengenai kisah Upin & Ipin yang dikaitkan dengan kehidupan mereka.

“Ini bermakna mereka menonton dan menghayati. Perkara itu bukan senang untuk dicapai. Secara jujur, kalau tiada peminat Indonesia, jangan mimpi hendak raih 10 juta pelanggan di YouTube,” katanya.

Burhanuddin berkata, sesebuah studio animasi perlu mencipta watak animasi popular untuk menjana pendapatan.

“Pada masa sama, kalau mahu harapkan penonton di Malaysia sahaja, sukar untuk menjana pendapatan. Penduduk negara ini tidak ramai,” katanya.

 

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal pernah meraih kutipan RM26 juta pada 2019.
Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal pernah meraih kutipan RM26 juta pada 2019.

 

Burhanuddin berkata, produk animasi dihasilkan studio tempatan perlu dibawa ke luar negara bagi meraih keuntungan lebih besar. Itulah dicapai karakter Upin & Ipin yang kini ditonton di India, United Kingdom (UK) dan Australia.

“Pada 2019, Disney India hubungi kami kerana mahu menayangkan satu siri TV Upin & Ipin di sana. Apabila ditayangkan pada tahun sama, kami dapat laporan siri itu menduduki tangga kesembilan dalam kalangan siri animasi lain.

“Pada 2020, siri Upin & Ipin berjaya menduduki tangga ketiga,” katanya.

Burhanuddin berkata, platfrom penstriman, Netflix juga berminat dengan siri animasi Upin & Ipin.

“Pada mulanya, siri Upin & Ipin ditayangkan Netflix Asia. Namun, tahun lalu, mereka tayang di UK dan Australia,” katanya.

Burhanuddin berkata, musim ke-15 Upin & Ipin yang siap bulan depan, bakal ditayangkan Netflix.

Mengenai projek taman tema Upin & Ipin yang sebelum ini dirancang di Puteri Harbour, Johor, Burhanuddin bagaimanapun berkata, cadangan itu terbatal.

Terkini, pihaknya menerima tawaran daripada pengurusan Sireh Park di Iskandar Puteri, Johor bagi membangunkan taman tema di lokasi berkenaan.

“Sireh Park adalah hutan simpan yang dibangunkan untuk aktiviti riadah. Syarikat terbabit tawarkan tanah seluas 40 ekar.

“Selain taman tema, kami beri idea bangunkan tadika dan kemudahan lain mengikut fasa. Kami masih menunggu surat persetujuan daripada pihak terbabit,” katanya.

Burhanuddin berkata, bagi fasa pertama, pihaknya merancang membangunkan Kampung Durian Runtuh, rumah Opah, dewan serta patung Upin & Upin.

“Saya percaya apabila kerajaan buka sempadan, peminat Indonesia dan Singapura akan datang. Apabila menarik perhatian pengunjung, kami boleh tarik keuntungan untuk melabur bagi fasa kedua,” katanya.

Sementara itu, Burhanuddin berkongsi pengalaman mengembangkan LCP melalui buku berjudul Atok Ranggi Is Talking.

Tambahnya, buku itu ditulisnya sejak 2019 dan dijangka dipasarkan, Mac depan.

Ditubuhkan pada 2005 dengan misi menerajui industri animasi tempatan. Selain Upin & Ipin, LCP menghasilkan siri animasi Pada Zaman Dahulu, Puteri, DaDuDiDo, Helping Heroes dan Iqra.

Tampil dengan filem animasi pertama Geng: Pengembaraan Bermula pada September 2007 disusuli filem Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! pada 2016.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal meraih kutipan RM26 juta pada 2019.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat