KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah melantik 26 kontraktor penyelenggaraan di perkampungan Orang Asli di sekitar Gua Musang bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil sistem rawatan untuk memastikan penduduk sentiasa menerima bekalan air terawat dan selamat untuk kegunaan penduduk setempat.

Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan terdapat 117 buah kampung Orang Asli (KOA) yang diiktiraf di daerah Gua Musang dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 105 buah kampung memperolehi bekalan air daripada sistem rawatan alternatif yang dibina oleh Kementerian dan JAKOA.

“JAKOA telah melantik 26 kontraktor penyelenggaraan di kampung-kampung terbabit bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil sistem rawatan untuk memastikan penduduk sentiasa menerima bekalan air terawat dan selamat untuk kegunaan mereka,” katanya di Dewan Negara pada Isnin.

Abdul Rahman juga memberitahu pada masa sama, JAKOA juga telah membuat perancangan untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih sistem rawatan yang memerlukan penggantian peralatan.

Jelas beliau, pada tahun 2021, JAKOA telah membelanjakan RM805,000 untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan di tujuh buah Kampung Orang Asli (KOA) di daerah Gua Musang.

Selain itu, Abdul Rahman memaklumkan bagi tahun 2022, JAKOA akan memperuntukkan sejumlah RM800,000 untuk kerja-kerja pembaikan dan menaiktaraf sistem rawatan di Pos Brooke, Jajahan Gua Musang, Kelantan.

“Bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang terbengkalai di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan dan Pos Kemar, Hulu Perak, adalah disebabkan oleh kekangan kos disebabkan kedua-dua lokasi terletak di kawasan pedalaman yang ekstrem.

“JAKOA mengambil perhatian serius berkenaan perkara ini dan sedang dalam tindakan bagi memastikan projek tersebut disiapkan dan penerima akan mendapat manfaat sewajarnya.

“Memandangkan projek tersebut telah terbengkalai dalam tempoh yang lama, rumah tersebut didapati tidak kondusif dan ekonomik untuk dibaiki. Penerima bantuan PPRT yang terbengkalai di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan telah menerima bantuan rumah pada tahun 2016. Manakala bagi penerima di Pos Kemar, Hulu Perak, Perak pula, pihak JAKOA masih mengenalpasti keperluan kos sebenar untuk pembaikan/baikpulih projek sekiranya bersesuaian,” ujar beliau.

Abdul Rahman berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Ajis Sitin yang bertanya apakah tindakan kerajaan untuk memastikan semua projek yang dilaksanakan di perkampungan Orang Asli termasuklah Projek Bekalan Air Terawat di perkampungan Orang Asli sekitar Gua Musang yang banyak tidak berfungsi, Projek Perumahan PPRT di Pos Gob, Gua Musang dan Pos Kemar, Ulu Perak yang telah ditinggalkan terbengkalai begitu sahaja diambil tindakan dan dilaksanakan sehingga siap sempurna seperti yang dijadualkan dan ditetapkan.