RadjaWali Live in Malaysia – nada dari seberang, menggetar kembali jiwa di Malaysia

Dalam dunia hiburan yang penuh warna-warni, sinar lampu pentas dan sorakan ribuan peminat sering menjadi tumpuan utama. Namun di sebalik setiap konsert gilang-gemilang, ada satu kekuatan yang jarang kelihatan tetapi amat penting – para penaja dan rakan strategik yang menjadi nadi kepada kelancaran sesebuah penganjuran.

Inilah yang menjadi intipati kepada majlis “Pentas RadjaWali Live in Malaysia Media Gathering & Appreciation Day” yang berlangsung penuh meriah di Redbox The Gardens, Mid Valley City hari ini. Majlis ini bukan sekadar pelancaran konsert, tetapi juga satu penghargaan istimewa buat barisan rakan strategik yang berdiri teguh menyokong penganjur di belakang tabir.

Penganjur utama  Impian Al Fateh Sdn. Bhd., GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) tampil dengan pendekatan berbeza apabila memilih untuk meraikan rakan kongsi mereka lebih awal, sebagai tanda terima kasih sebelum konsert mega itu berlangsung pada 10 Januari 2026 nanti di Idea Live Arena, Petaling Jaya.

Menurut Muhamad Firdouz Abd Razak, atau lebih dikenali sebagai Fidote, yang juga Pengarah Projek dan Pengarah Konsert, kejayaan sesebuah acara berskala besar seperti ini tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama erat pelbagai pihak.

“Kita ibarat aur dengan tebing. Dalam keadaan industri hiburan yang mencabar, rakan strategik inilah yang menjadi tulang belakang kepada kelangsungan projek kami,” katanya dengan penuh rasa syukur.

Konsert “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” bukan sekadar pertunjukan muzik biasa ia adalah pertembungan dua nama besar dari seberang, Radja dan Wali, yang masing-masing mempunyai sejarah gemilang dan legiun peminat tegar di Malaysia.

Gabungan ini mencetuskan nostalgia luar biasa, terutama buat generasi yang membesar dengan lagu-lagu ikonik seperti “Jujur”, “Bulan” dan “Cinderella” daripada Radja, serta “Cari Jodoh”, “Baik-Baik Sayang” dan “Tomat (Tobat Maksiat)” daripada Wali.

Fidote menjelaskan, sambutan peminat amat luar biasa sehingga tiket berharga RM177 habis terjual hanya dalam seminggu. Secara keseluruhan, lebih 60 peratus tiket telah terjual, malah tiket premium turut mendapat sambutan hangat daripada syarikat korporat.

Antara barisan Rakan Strategik utama yang menjayakan konsert ini termasuk Redbox dan Three Hand Production (billboard). Tidak ketinggalan GGR Motor serta Dua Darjat Coffee sebagai minuman rasmi yang menyuntik elemen gaya hidup dalam penganjuran kali ini.

Turut tersenarai, Roerdum sebagai jam tangan rasmi, Era, Sinar dan THR Gegar selaku radio rasmi, Gempak sebagai media rasmi dan Royale Chulan sebagai hotel rasmi.

Kehadiran mereka bukan sekadar simbol penajaan, tetapi tanda sokongan moral dan strategik terhadap kebangkitan semula industri konsert Malaysia selepas beberapa tahun suram akibat pandemik.

“Kami tidak mahu melihat rakan penaja hanya sebagai penyumbang dana. Mereka adalah sebahagian daripada keluarga besar Pentas RadjaWali. Sebab itu kami panggil mereka Rakan Strategik – kerana mereka turut sama berkongsi visi dan semangat,” ujar Fidote lagi.

Fenomena kebangkitan lagu-lagu lama Radja dan Wali turut menjadi faktor utama penganjuran ini. Banyak karya mereka kembali trending di platform seperti TikTok, membuktikan bahawa muzik yang tulus dan berjiwa masih relevan merentasi generasi.

“Ada lagu Radja yang dah berusia 17 tahun pun trending semula. Malah ada remix baharu yang dibuat oleh peminat sendiri. Ini menunjukkan permintaan terhadap muzik mereka masih tinggi,” jelas Fidote.

Dalam sidang media yang berlangsung serentak secara fizikal dan dalam talian bersama anggota Wali di Indonesia, pihak penganjur turut mengumumkan pelancaran peraduan cabutan bertuah buat penonton yang hadir ke konsert. Hadiah menarik menanti mereka yang membeli tiket awal menerusi Fantopia.io.

Selain itu, sesi karaoke bersama media turut diadakan sebagai simbol penghargaan kepada wartawan dan rakan media yang banyak membantu dari segi promosi dan publisiti.

Bagi kedua-dua kumpulan legenda ini, Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati mereka.

Vokalis Radja, Ian Kasela, meluahkan rasa teruja untuk kembali ke Malaysia selepas sekian lama.

“Malaysia selalu dekat di hati kami. Kami tak pernah melupakan peminat di sini. Ini seperti impian yang menjadi kenyataan,” katanya penuh emosi.

Bagi anggota Wali Band pula Faank, Apoy, Ovie dan Tommy konsert ini adalah peluang untuk kembali menyapa peminat yang sudah lama menantikan kehadiran mereka.

“Malaysia ibarat rumah kedua kami. Kami rindukan sambutan mesra dan makanan enak di sini. Kali ini kami janji akan tampil dengan sesuatu yang berbeza,” ujar mereka.

“Pentas RadjaWali Live in Malaysia” bukan sahaja simbol nostalgia muzik dua legenda Indonesia, tetapi juga penanda kebangkitan semula industri konsert tempatan yang kini lebih tersusun dan profesional dengan sokongan pelbagai pihak.

Dengan tiket berharga antara RM177 hingga RM977, penganjur yakin persembahan pada 10 Januari 2026 itu akan menjadi pembuka tirai kepada lebih banyak kolaborasi serantau di masa depan.

“Apa yang kami usahakan bukan sekadar konsert. Ia adalah perayaan terhadap semangat kerjasama  antara artis, penganjur, media, dan rakan strategik. Tanpa mereka, tiadalah Pentas RadjaWali,”  Fidote, Pengarah Konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat