KUALA LUMPUR – Saman untuk mencabar kesahihan Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRU lalu dalam usaha untuk menyingkirkan beliau daripada kerusi sah Perdana Menteri adalah satu tindakan yang tiada asas undang-undang untuk dibicarakan (non justiciable).
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil yang juga pengamal undang-undang memberitahu, ini adalah kerana apa-apa cabaran terhadap ketidaksahihan seseorang calon pilihan raya hendaklah dibuat melalui petisyen pilihan raya yang mana tempoh had masa telah berakhir iaitu 21 hari dari tarikh warta.
Jelas Faiz lagi, mahkamah pada peringkat ini tiada bidang kuasa untuk mendengar saman tersebut kerana peruntukan khusus undang-undang mengatasi undang-undang umum (generalia specialibus non derogant).
“Selain itu, pengampunan penuh telah diberikan oleh Yang Di-Pertuan Agong kepada Anwar yang mana kemenangan beliau dalam PRK Port Dickson tidak langsung dicabar dan kekal sah.
“Menjadi prinsip undang-undang mantap (trite law) bahawa seseorang tidak boleh menyangkal apa yang dibuat terdahulu (the principle of approbate and reprobate).
Sementara itu, kata beliau berkaitan isu perlantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, ia adalah kuasa Yang Di-Pertuan Agong menurut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.
“Pelantikan ini tidak boleh dicabar di mahkamah sepertimana diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
“Ini adalah pandangan undang-undang adil yang boleh saya berikan bagi meredakan kebimbangan orang ramai.
“Rakyat diminta untuk memberikan fokus membantu Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi negara dan tidak dimanipulasi oleh pembangkang yang terdesak dengan menunggang isu ini.
“Saya yakin pada proses undang-undang yang adil untuk membicarakan saman tersebut,” ujar Faiz.
Ini sebagai reaksi kepada tindakan peguam P Waytha Moorthy memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.



