KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu yakin dengan sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Pas kerana mendakwa parti itu boleh mengubah pendirian pada bila-bila masa.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tiada sebarang perjanjian rasmi antara Barisan Nasional (BN) dan Pas ketika ini, sebaliknya ia hanya sekadar persefahaman dan tidak diberi keutamaan.
“Apa yang dinyatakan itu tidak semuanya harus diterima sebagai satu kenyataan yang tepat kerana kita tidak ada sebarang perjanjian dengan Pas. Cuma kalau ada perbincangan pun sekadar persefahaman dan kita tidak mengutamakan sebarang perbincangan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sesi Luncheon Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026, menurut Kosmo! pada Isnin.
Menurut Zahid lagi, pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan kenyataan yang dibuat pemimpin Pas sebelum ini berbeza dengan situasi sebenar ketika proses penamaan calon dan hari pengundian.
“Jadi jangan positif sangatlah dengan mereka ini. Cuma kita harus bersangka baik sahaja, tetapi jangan terlalu positif. Mereka boleh tukar tiang gol bila-bila masa sahaja. Jadi saya anggap bahawa itu kenyataan politik oleh mereka,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan wujud rundingan kerusi antara BN dan Pas, Zahid sekali lagi menegaskan parti itu tidak boleh dijadikan sandaran kerana rekod lampau menunjukkan mereka sering mengubah pendirian.
“Itu sebab saya nyatakan, kata-kata mereka ini kita jangan pegang sangat sebab mereka boleh berubah. Banyak kali, banyak parti dah kena dengan mereka ini. Jadi saya harap mereka tidak berubahlah,” ujarnya.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan memberi bayangan wujud perbincangan berkaitan kerjasama politik dan rundingan kerusi melibatkan Pas dengan BN menjelang PRN Negeri Sembilan.



