Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM) meminta kerajaan mengkaji semula pelaksanaan Inisiatif Cermat Madani yang membolehkan pembaharuan insurans dan takaful dilakukan menerusi aplikasi MyJPJ kerana dikhuatiri memberi kesan kepada industri serta mengelirukan pengguna.
Persatuan itu menegaskan mereka tidak menolak usaha kerajaan memperluaskan pendigitalan perkhidmatan awam, namun berpendapat urusan jualan insurans dan takaful tidak sepatutnya dilaksanakan melalui platform milik kerajaan.
Presidennya, Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, kebimbangan utama PERWATAM ialah apabila aplikasi rasmi kerajaan digunakan sebagai saluran pembelian insurans dan takaful, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa terdapat layanan istimewa kepada syarikat tertentu.
Menurut beliau, keadaan itu boleh menjejaskan persaingan dalam pasaran dan memberi kesan kepada ribuan ejen yang selama ini menjadi penghubung antara syarikat insurans dengan pelanggan.
“Kita bukan menentang keputusan kerajaan. Apa yang kita mahukan ialah pelaksanaan yang lebih jelas dan mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat.
“Kerajaan sepatutnya kekal sebagai pengawal selia. Urusan jualan insurans dan takaful pula biarlah diuruskan oleh syarikat serta ejen yang bertauliah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Khairi Anuar berkata, PERWATAM yang mempunyai lebih 900 ahli turut membawa suara lebih 15,000 wakil takaful am dan ejen insurans di seluruh negara.
Katanya, persatuan itu juga akan bergabung dengan beberapa persatuan ejen insurans am lain bagi menyampaikan pendirian mereka kepada kerajaan.
Beliau berkata, insurans dan takaful bukan sekadar produk yang dibeli untuk memenuhi syarat memperbaharui cukai jalan.
Sebaliknya, pelanggan memerlukan penjelasan mengenai perlindungan yang ditawarkan, bantuan ketika membuat tuntutan, pindaan polisi serta khidmat selepas jualan yang selama ini disediakan oleh ejen.
“Ramai pelanggan hanya akan mencari ejen apabila berlaku kemalangan atau ketika hendak membuat tuntutan. Pada waktu itulah peranan ejen menjadi sangat penting.
“Kalau semuanya dibuat sendiri melalui aplikasi, siapa yang akan membantu pelanggan apabila mereka berdepan masalah?” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan pelaksanaan Cermat Madani dijangka memberi kesan kepada pendapatan ejen insurans dan takaful.
Katanya, promosi melalui platform kerajaan serta tawaran rebat tambahan kepada pengguna boleh mengubah corak pembelian dalam pasaran sekali gus menjejaskan sumber pendapatan ejen yang bergantung kepada komisen.
Bagaimanapun, beliau menegaskan isu yang dibangkitkan bukan semata-mata berkaitan komisen.
“Kita bercakap tentang masa depan profesion ejen dan hak pengguna untuk mendapatkan khidmat nasihat sebelum membuat keputusan membeli perlindungan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PERWATAM, Khidir Zulkifli berkata, pihaknya turut mempersoalkan aspek tanggungjawab sekiranya berlaku masalah ketika pengguna membuat pembelian melalui aplikasi MyJPJ.
Menurut beliau, kenyataan penafian yang dipaparkan dalam aplikasi itu boleh mengelirukan pengguna mengenai pihak yang perlu dirujuk sekiranya timbul pertikaian.
“Apabila urusan dibuat melalui aplikasi kerajaan, sudah tentu pengguna akan menganggap kerajaan juga bertanggungjawab jika berlaku sebarang masalah. Perkara ini perlu diperjelaskan,” katanya.
Bendahari Agung PERWATAM, Muhammad Syameem Ahmad pula berkata, aspek keselamatan data pengguna juga tidak boleh dipandang ringan memandangkan JPJ menguruskan pangkalan data pemilik kenderaan di seluruh negara.
Beliau berkata, sebarang kerjasama yang melibatkan perkongsian data dengan pihak lain perlu disertakan jaminan keselamatan yang jelas supaya maklumat pengguna tidak disalahgunakan.
Dalam perkembangan sama, Exco Media dan Digital PERWATAM, Laiyyinah Abdul Muthalib berkata, persatuan itu berharap kerajaan mendapatkan pandangan semua pihak sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.
Katanya, perbincangan bersama persatuan ejen, syarikat insurans, pengendali takaful dan agensi berkaitan penting bagi memastikan pelaksanaan sesuatu inisiatif tidak menimbulkan masalah baharu kepada pengguna atau industri.
Khairi Anuar berkata, PERWATAM telah memohon mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi membincangkan perkara itu.
Beliau berharap kerajaan dapat menangguhkan pelaksanaan Cermat Madani sehingga semua isu yang dibangkitkan diberi penjelasan.
“Hasrat kami bukan untuk menghalang usaha pendigitalan kerajaan. Apa yang kami mahu ialah urusan jualan insurans dan takaful terus dibuat melalui saluran sedia ada, manakala kerajaan memberi tumpuan kepada tugas sebagai pengawal selia,” katanya.



