Varian Delta Antara Punca Jangkitan Covid-19 Melonjak Ke Lebih 11,000 Kes – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Pecah rekod sekali lagi apabila kes harian negara melonjak melebihi 11,000 buat pertama kali dengan 11,079 kes semalam sekali gus tertinggi dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 mencecah 855,949 kes.

Peningkatan angka turut melibatkan pesakit yang sedang dirawat dan diasingkan iaitu seramai 96,236 orang termasuk 972 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 456 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes harian semalam, Selangor terus meningkat melepasi 5,000 dengan 5,263 kes manakala, Kuala Lumpur sebanyak 1,521 kes dan Negeri Sembilan sebanyak 1,033 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 23 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 13 kluster tempat kerja dan 10 kluster komuniti.

Ditanya mengenai peningkatan kes harian tersebut, Noor Hisham berkata, ujian saringan Covid-19 ditingkatkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Majikan juga misalnya turut menjalankan ujian saringan terhadap pekerja mereka selain kita tingkatkan ujian saringan bersasar melibatkan komuniti. Ini menyumbang kepada peningkatan kes di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Bagi pekerja disahkan positif, sebanyak 85 peratus adalah tahap satu dan dua (tahap satu sahaja 53 peratus), manakala 15 peratus berkemungkinan tahap tiga, empat dan lima (tahap lima sahaja lima hingga 10 peratus),” katanya.

Berhubung kesesakan di ICU, beliau berkata, ia berikutan rawatan yang panjang bagi kes tahap empat dengan anggaran tempoh 14 hari manakala, 21 hari bagi pesakit tahap lima ditambah dengan peningkatan kes setiap hari.

“Namun kita melihat ruang yang ada seperti menambah katil serta bekerjasama dengan hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk merujuk pesakit Covid-19 tahap empat.

“Sekiranya kes datang secara tiba-tiga ke wad kecemasan dengan jumlah amat tinggi, kita tidak boleh menolak pesakit dan perlu terima sebelum dirujuk ke hospital lain atau ruang yang ada yang telah disiapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, pihaknya menjangkakan kes harian akan terus bertambah dalam tempoh seminggu hingga dua minggu lagi sebelum ia kembali stabil.

“Satu lagi faktor ialah varian yang merebak dan sewaktu pelaksanaan PKP pada 1 Jun, dalam tempoh 10 hari kita meratakan kes dari 9,000 lebih turun ke 5,000 dan 4,000 lebih dan semakin menurun tetapi sekarang ini meningkat semula.

“Salah satu faktor peningkatan ini ialah varian dan kita dimaklumkan, delta menjadi varian dominan. Sebelum ini ialah beta yang telah merebak seluruh negara dan setiap negeri dikesan ada beta varian tetapi delta varian ini merebak dengan cepat.

“Kalau 100 orang dijangkiti, ia boleh menjangkiti 800 orang dalam masa singkat. Kita lihat jangkitan ikut udara dan dalam masa singkat, ia boleh menjangkiti jadi perlu ambil tindakan bagi mengelakkan jangkitan,” ujarnya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat