Que ajak anak seni sampaikan suara rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kisah penderitaan hidup golongan anak seni sering menjadi modal kecaman warga netizen, sejak pandemik COVID-19 menular.

Kebanyakan netizen memandang sinis apabila ada sesetengah anak seni terjejas dan hilang punca pendapatan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Malah, ada netizen mempersoalkan kenapa layanan istimewa perlu diberikan kepada anak seni, sedangkan golongan berkenaan juga rakyat biasa.

Biarpun dikecam, aktor, Que Haidar mengajak anak seni menyampaikan mesej positif kepada masyarakat dalam laman Instagram (IG), baru-baru ini.

Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar berkata, peranan anak seni bukan sekadar hiburan, sebaliknya mampu menyampai mesej kepada masyarakat.

“Ramai orang sekeliling kita merana, hilang punca pendapatan dan sengsara akibat pandemik COVID-19. Makin lama makin ramai hilang kerja, tiada mata pencarian dan paling sedih, hilang nyawa. Sampai bila ia akan terus berlaku?

“Wahai anak seni, dahulu ramai keluar menonton kita di pawagam. Ramai sanggup mengundi untuk kita menang anugerah. Ramai yang menghabiskan duit membeli tiket. Ramai bertepuk dan bersorak untuk kita.

“Namun, sekarang di manakah kita? Kenapa kita mendiamkan diri? Kenapa kita tidak bersuara untuk mereka. Bagaimanapun, bukan semua anak seni begitu,” tulisnya.

 

Que Haidar bersuara dan mengajak golongan anak seni menyampaikan mesej positif kepada masyarakat dalam laman sosial. - Foto IG Que Haidar
Que Haidar bersuara dan mengajak golongan anak seni menyampaikan mesej positif kepada masyarakat dalam laman sosial. – Foto IG Que Haidar

 

Aktor yang diangkat Pelakon Lelaki Terbaik (Drama), Anugerah Skrin TV3 menerusi drama Terlerai Takbir Kasih pada 2009 itu mahu anak seni membantu menyuarakan keluh-kesah masyarakat menerusi platform laman sosial.

“Wahai anak seni, bersamalah kita membantu sampaikan suara rakyat. Suara kita lebih didengari daripada mereka.

“Tiada guna mempunyai peminat, tetapi tidak berbuat sesuatu untuk mereka. Tiada guna ramai pengikut di media sosial, tetapi kita mempersia-siakannya.

“Sebagai anak seni kreatif, sampaikan suara rakyat mengikut kreativiti kita kepada mereka yang sepatutnya mendengar.

“Kita boleh berpuisi, menari, berlakon, menyanyi, bikin filem, silakan sebab kita insan kreatif. Kita tidak membenci, tetapi sayangkan Malaysia,” katanya.

Que turut melakukan inisiatif membantu rakyat Malaysia yang memerlukan dengan melelong barang peribadi. Antaranya, lakaran lukisan dan kasut.

“Saya berjaya membantu 20 keluarga dengan hasil lelongan sebelum ini. Saya mahu membantu meringankan beban mereka yang berdepan kesempitan hidup. Namun, saya hanya membantu dengan apa yang termampu,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat