KUALA LUMPUR- Datuk Seri Rafizi Ramli berkongsi momen kali terakhir menyelesaikan urusan-urusan terakhir di Kementerian Ekonomi termasuk mengemas pejabat.
Ahli Parlimen Pandan itu juga mengambil kesempatan memperkenalkan beberapa orang yang banyak membantu beliau mengusahakan inisiatif ekonomi di bawah Kementerian Ekonomi selama ini.
“Saya masuk ke pejabat buat kali terakhir semalam dan hari ini (Jumaat) untuk urusan-urusan terakhir, termasuk mengemas pejabat.
“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk memperkenalkan beberapa orang yang banyak membantu saya mengusahakan inisiatif ekonomi di bawah Kementerian Ekonomi.
“Mereka adalah pegawai-pegawai dasar dalam pasukan saya yang saya pujuk untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini dan berkhidmat di pejabat saya.
“Dari cili kepada semikonduktor, kepada ekosistem syarikat pemula, JSSEZ, NETR, kepada gaji progresif sehinggalah RMK13, mereka banyak menterjemah idea-idea saya sehingga mula boleh dilaksanakan.
“Kini mereka akan kembali ke bidang masing-masing. Terima kasih daripada saya,” ujar Rafizi di Facebooknya.
Rafizi malah mengakui beliau banyak belajar daripada mereka, lebih daripada mereka belajar daripada beliau.
Perkembangan terbaru itu tidak memberi reaksi terhadap pelawaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih mahukan Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad menyertai semula Kabinetnya.