Dua Pekerja Pembersihan Stadium JDT Maut Akibat Terjatuh – Polis

- Advertisement -

ISKANDAR PUTERI – Dua pekerja syarikat pembersihan maut terjatuh ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa lelaki tempatan berusia 34 dan 35 tahun itu maut di tempat kejadian.

Beliau memberitahu, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menyelenggara fasiliti milik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

“Ketika kejadian berlaku, cuaca berada dalam keadaan baik dan tidak hujan sepanjang mangsa bekerja membersihkan stadium.

“Kedua-dua mangsa secara tiba-tiba terjatuh ketika sedang bertugas. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan masih dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Kamarul Zaman berkata, kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, JDT menerusi perkongsian di Facebook (FB) Johor Southern Tigers menzahirkan rasa simpati atas kejadian yang berlaku.

Menerusi status di FB itu, JDT mengucapkan takziah kepada keluarga dua pekerja terbabit.
“JDT sedang menunggu laporan penuh berkaitan kejadian daripada pihak berwajib dan syarikat yang dikontrakkan untuk menyelenggara stadium,” katanya.

Stadium Sultan Ibrahim dibuka secara rasmi pada 22 Februari 2020 lalu sekali gus menjadi venue rasmi JDT.

Upacara pecah tanah dilakukan pada Januari 2016 namun pembinaannya ditangguhkan beberapa bulan susulan pelarasan yang dibuat oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenaan lokasi stadium, aspek teknikal dan reka bentuk.

Dibina dengan kos RM200 juta di Iskandar Puteri, stadium itu menjadi gelanggang ‘home’ buat skuad Harimau Selatan menggantikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Selain memuatkan kapasiti penonton seramai 40,000 orang, stadium yang dibina di tanah berkeluasan 28.3 hektar itu juga sebahagian daripada Bandar Sukan JDT yang menempatkan hotel, pangsapuri, pusat beli belah, padang ragbi, gelanggang tenis dan beberapa fasiliti sukan moden. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat