Berikan Sokongan Tak Bersyarat Kepada PM, Tak Perlu Desak Segerakan PRU-15 – PAS

KUALA LUMPUR – PAS menyeru kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berhenti seketika daripada “berpolitiking” kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan.

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir. Khairil Nizam Khiruddin berkata, Zahid seharusnya berikan fokus menggerakkan jentera UMNO untuk bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat terutamanya aspek ekonomi yang menekan akhir-akhir ini.

“Masalah utama yang dihadapi oleh negara pada hari ini bukanlah isu parti mana atau siapa yang perlu dominan dalam kerajaan tetapi masalah utama kini ialah krisis ekonomi.

“Peningkatan inflasi semakin menghimpit rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Saya juga ingin menyeru kepada semua Ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk menasihati Presiden mereka yang seringkali memberikan tekanan kepada Perdana Menteri untuk segerakan PRU15.

“Sebagai ketua parti besar orang Melayu yang berpengalaman, Presiden UMNO haruslah berjiwa besar bersama-sama kerajaan pada hari ini untuk teruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Khairil Nizam, tujuan PAS menyokong kerajaan pada hari ini adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara ini dapat ditadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Jangan diheret rakyat dalam konflik perebutan kuasa dalam parti.

“Sepertimana Presiden UMNO mahu menangguhkan pemilihan parti demi perpaduan dan kestabilan UMNO, begitulah juga hasrat kerajaan pada hari ini untuk meletakkan kestabilan negara sebagai keutamaan tertinggi.

“Jangan dihancurkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan parti-parti lain dalam kerajaan hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.

“Berikan sokongan tidak bersyarat kepada Perdana Menteri untuk beliau dan Kabinet beliau pulihkan negara ini dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” tegas beliau.