PBS Terbuka Jalin Untuk Kerjasama Politik Dengan Pembangkang Demi Rakyat Sabah – Maximus

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Parti Bersatu Sabah sentiasa terbuka dalam menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana parti di negeri itu termasuk pembangkang demi kepentingan rakyat Sabah, kata Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata PBS sentiasa mengalu-alukan rakan politik yang berhasrat berkongsi aspirasi parti itu untuk menjadikan negeri itu tempat yang lebih baik untuk rakyatnya.

Beliau berkata aspirasi itu termasuk politik berbilang kaum, kepelbagaian budaya, hak-hak negeri dan Perjanjian Malaysia 1963, perilaku politik yang berprinsip terutama undang-undang antilompat parti, melindungi serta mempertahan keselamatan negara terutama daripada pendatang haram dan memastikan kemajuan ekonomi.

“Justeru kami mengambil maklum mengenai isyarat politik oleh Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menjalin kerjasama demi kebaikan semua rakyat Sabah,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Semalam, Mohd Shafie berkata Warisan terbuka untuk bekerjasama dengan PBS dan parti kebangsaan lain di Semenanjung Malaysia ke arah membina sebuah negara yang lebih baik untuk rakyat, dan beliau berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan PBS kerana ia adalah parti tempatan yang mempunyai sejarah di negeri itu serta beliau mengenali secara peribadi pemimpin parti itu terutama Ongkili.

Ongkili berkata PBS, sebagai ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk Kerajaan Negeri Sabah, berharap agar rakan politik dalam gabungan itu akan melihat isyarat kerjasama dan hubungan kerja daripada Warisan sebagai sesuatu yang positif.

Beliau berkata PBS kini memiliki hubungan kerja yang baik dengan Bersatu menerusi GRS mahupun Perikatan Nasional (PN) dan mampu berkhidmat untuk rakyat di Sabah serta di peringkat nasional menerusi kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

GRS adalah gabungan yang membabitkan PN (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku – Star, Parti Maju Sabah – SAPP, PAS); Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah – PBRS) dan PBS.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,542FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat