KUALA LUMPUR– Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mahu Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk mengembalikan keistimewaan asal Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai bagi merancakkan semula sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Baginda bertitah bahawa meskipun status pulau bebas cukai masih dikekalkan, beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan termasuk pelaksanaan kadar cukai terhadap kenderaan serta cukai ke atas produk berasaskan tembakau dan barangan tertentu.
Menurut baginda, situasi tersebut memberi kesan kepada daya tarikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara.
“Sehubungan itu, Beta menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat mengembalikan status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan-keistimewaan seperti sebelum ini,” titah baginda pada Isnin di Alor Setar.
Sultan Kedah bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Pembukaan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Aman, lapor Sinar Harian.
Dalam masa yang sama, baginda berpandangan pembangunan pesat di Langkawi perlu disokong dengan penyediaan infrastruktur yang mencukupi dan berdaya tahan.
Baginda menegaskan bahawa kekangan dari segi infrastruktur sokongan, aksesibiliti ke pulau serta kemudahan jeti yang efisien masih menjadi cabaran utama yang menjejaskan kelancaran pembangunan di pulau berkenaan.
Selain itu, baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap kekerapan perkhidmatan feri ke Langkawi yang disifatkan masih terhad.
Sehubungan itu, baginda berharap pihak berwajib dapat meneliti dan menambah baik sistem pengangkutan feri termasuk mempertimbangkan semakan semula kadar subsidi diesel kepada pengusaha feri.
“Langkah ini penting bagi memastikan kelancaran perhubungan serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan di Langkawi,” titah baginda lagi.



